Thursday, June 25, 2009

Orang lain Mahal, Orang Kita Gaji Pun Tak Lepas.

Hakikatnya, Cristiano Ronaldo adalah pemain bola sepak termahal dunia. Beliau kekal pemain termahal dunia, pada nilai rekod dunia 93 juta euro (RM464 juta) dibayar Real Madrid kepada Manchester United untuk mendapatkan khidmatnya, musim ini.

Liga-liga mereka kita tonton bagai nak rak walaupun kita bersekang mata. Semua nama pemain dan pengurus kita hafal. Isu dan gelagat di luar padang pun kita ambil perhatian. Namun di gelanggang sendiri kita lesu dan sepi. Bukan cerita bayaran perpindahan yang tertinggi pemain bolasepak di war-warkan tapi cerita pemain tak mendapat bayaran lebih kedengaran.

Malam tadi hamba menonton kisah bekas pemain pasukan Melaka tidak di bayar tunggakan gaji sejak 2 tahun lepas. Bukannya hingga jutaan ringgit, cuma RM 10,000 sahaja. Di tahun 2009 ini masih kedengaran rintihan pemain bolasepak sedemikian. Malu kita di buatnya. Kalau persatuan berhutang dengan pemain, janganlah diharap mutu permainan akan setanding dengan liga-liga luar.

Pemimpin persatuan yang mengendalikan persatuan ini tidak pernah ke memikirkan kehidupan pemain-pemain ini. Mereka juga ada kehidupan, hutang-hutang yang perlu dilangsaikan, mulut anak bini untuk disuapkan makanan. Kepada persatuan bolasepak, jangalah menyimpan angan-angan yang terlalu tinggi sehingga lupa pada asas utama iaitu semua kita adalah manusia biasa, yang pasti sebelum menawarkan pekerjaan kepada pemain-pemain tu, lihat-lihatlah kemampuan persatuan sendiri dahulu.

Kalau kantong berisi teruskan, kalau kantong kosong lupakan je lah angan-angan yang melangit tinggi itu.

salam dari hamba

tunmegat

Wednesday, June 17, 2009

Ribut 7.00ptg 16 Jun 2009

Salam .

Pagi tadi saya bersama-sama rakan sekerja dan beberapa rakan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Penghulu Mukim Penor meninjau rumah-rumah yang di timpa musibah akibat ribut pada semalam(16.6.2009). Ada yang hilang atap, ada yang dihempap pokok Pinang, ada di hempap pohon Rambutan. Paling menyedihkan bila mengenangkan kehidupan mangsa tersebut sememangnya sudah lama susah. Ada yang berkerja sendiri, ada yang yatim piatu dan ada juga ibu tunggal. Apabila di amati, baru saya mengerti peribahasa " sudah jatuh , di timpa tangga".

Walaubagaimana pun saya ingin merakamkan tahniah kepada Tok Penghulu Mukim Penor kerana bertungkus lumus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Kepada ketua-ketua kampung yang memberikan kerjasama juga diucapkan tahniah walaupun saya dikhabarkan perkhidmatan mereka selaku Ketua Kampung masih belum di sambung perkhidmatan. Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka belum sah dalam jawatan mereka , namun atas rasa tanggungjawab dan perihatin mereka tetap memberikan perhatian kepada masyarakat kampung.

Semangat yang sebegini yang amat diperlukan untuk membentuk satu gagasan 1 Malaysia yang lebih gemilang. Namun , bagi saya ada ruang yang boleh diperbaiki dalam mempercepatkan urusan bantuan disalurkan. Semoga segala usaha murni membantu rakyat diberkati Allah hendaknya.

salam dari hamba

tun megat

Tuesday, June 16, 2009

Perak Man

Agak lama hamba tidak menulis. Namun kali ini apabila terlihat perkhabaran di Berita Harian 16 Jun 2009: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen serta enam lagi anggota pembangkang, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula semalam kerana enggan mematuhi peraturan mesyuarat., hamba rasa sedih melihat perlakuan mereka yang bergelar Yang Berhormat ini.

* nak kata tak tahu, dia tahu. nak kata tak pandai , dia pandai tapi Perak Man ni memandai-mandai la pulak. Apabila berlebih sangat politik ni, bosan la pulak hamba selaku golongan marhain ni melihatnya. Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan adakah perkara seperti ini patut berlaku dalam sebuah parlimen di negara yang aman dan harmoni ini.

salam dari hamba

tunmegat

Friday, May 15, 2009

Bila nak abis cerita kat Perak ni?

Kata namanya Pakatan Rakyat tapi nak berpakat dengan bukan geng dia pun tak boleh. Orang lain pun rakyat jugak. Yang BN ni pun satu , cari2 la ruang untuk hentikan perbalahan ni. Orang luar bertepuk tangan tengok kita bertelagah sesama sendiri.

Dalam hal yang semakin rumit ni, ramai sangat yang nak tunjuk handal. Speaker dengan hal speaker, mahkamah dengan keputusannya, YB pulak dengan agenda YB, Penyokong pulak dengan ragamnya. Last2 Rakyat gak yang terbungkang, terlopong sambil termanggu-manggu menunggu apa bala pulak yang akan berlaku lepas ini.

Penatla tengok keadaan saudara-saudara rakyat Malaysia di Perak ni. Kesian ada, Simpati ada dan kadang-kadang naik menyampah pun ada. Agaknya inilah perlunya kebijaksanaan kita sebagai manusia yang menganggap kita bertamaddun. Semoga BN dan Pakatan menemui ikatan yang menguntungkan semua pihak.

Cukup-cukup la berpolitik.
Penat la nak baca dan dengar berita mengenai hal Perak.
Bosan tahap kritikal dah ni.

Semua ada buat salah, BN buat salah, PR pun buat salah. So tak ada siapa yang tak pernah buat salah. Kadang-kadang alangkah baiknya jika ada kereta macam movie "back to the future." tapi pe nak wat,reality is reality so nak tak nak hadap je lah. Apa-apa pun memang AKU DAH BOSAN.......


salam sejahtera

tunmegat

Wednesday, May 6, 2009

Lagu Bunga Tanjung

Bunga Tanjung-Sharifah Aini

Ragut. Bilakah akan berakhir?

Sekalung takziah buat Allahyarhamah Jamilah Selamat yang tewas ditangan peragut. 36 jam bertarung dalam keadaan koma, akhirnya di jemput Allah juga. Semoga di tempatkan rohnya tempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Pelbagai persoalan timbul apabila persoalan ragut ini diperbincangkan. Apakah puncanya? Apakah pembelaan nasib mangsanya? Apakah nasib keluarga mangsa? Dimanakah peranan pihak berkuasa? Apakah peranan orang ramai? Dimanakah rasa simpati atau sifat kemanusiaan si peragut? Dan bilakah ragut ini akan berakhir?

Kesedihan dan ratapan orang yang ditinggalkan langsung tidak akan menimbulkan rasa insaf dikalangan penjenayah ragut ini. Sememangnya peragut itu adalah Iblis yang bertopengkan manusia malah kadang-kadang saya rasakan ia lebih teruk dari Iblis.

Kesedaran terhadap bahaya ancaman ragut ini perlu dititikberatkan. Pengetahuan atau didikan perlu diterapkan kepada masyarakat. Peranan pelbagai jabatan terutama seperti Polis, Penerangan dan JKKK perlu dalam menterjemah kesedaran ini kepada umum. Dari sudut hukuman pula, saya mencadangkan agar hukuman yang amat berat patut dikenakan kepada penjenayah ragut ini jika mereka di dapati bersalah. Jangan salahkan orang awam memukul peragut yang ditangkap kerana perbuatan mereka itu memang berbaloi untuk orang awam bertindak sedemikian.

Kepada keluarga Allahyarhamah, saya ucapkan takziah dan Al-Fatihah. Kepada penjenayah yang melakukan ragut tersebut, tunggulah azab yang bakal mendatang. Allah itu maha adil dan maha penyayang.

salam dari hamba

tunmegat

Monday, May 4, 2009

Selsema Babi atau A H1N1?

Hanya berubah pada nama namun kesanya sama. Kalau kena tetap membahayakan kesihatan.
Kecoh dunia bila selsema ini menyerang. Semua negara ambil langkah berjaga-jaga dan tidak ketinggalan Malaysia. Difahamkan Kementerian Kesihatan telah berusaha membeli beberapa mesin scan pengesan wabak untuk di tempatkan di pintu-pintu masuk utama negara. Semua itu dilakukan untuk melindungi rakyat daripada di jangkiti virus pembunuh ini.

Semua orang risau tentang wabak ini. Dari menteri hinggalah kepada rakyat biasa. Dari yang mengetahui hinggalah kepada yang tahu sikit-sikit tentangnya. Paling gelisah ialah mereka yang tinggal berhampiran dengan ladang ternakan Babi.

Dalam hal ini, saya melihat faktor kesedaran tentang kebersihan dan pengetahuan penting kepada masyarakat. Kepekaan masyarakat terhadap ada yang berlaku di sekitar ruang lingkup kehidupan mereka amat-amat dituntut kerana jika mereka peka, mereka dengan sendirinya akan melindungi diri dan keluarga mereka dari wabak bencana ini.

Disamping kesedaran kepekaan tersebut satu perkara yang saya rasakan penting ialah rakyat perlu bertenang. Panik adalah satu senario yang utama saya fikirkan. Jika rakyat mula panik dengan wabak ini masalah lain pula akan timbul. Seperti kejadian lemas, kebanyakkan mangsa lemas bukan mati kerana kejadian lemas tu tetapi kerana panik semasa kejadian. Di sini saya melihat peranan media sebagai penyalur maklumat kepada rakyat adalah penting. Sesuatu berita itu boleh dipaparkan namun jika dia diperbesar-besarkan ia akan membawa impak negatif kepada masyarakat.

Semoga Allah Peliharakan Rakyat Malaysia Keseluruhannya

salam dari hamba

tunmegat

Monday, April 13, 2009

Thailand dan Demokrasi

Sidang kemuncak ASEAN ke 14 berakhir sebelum kemuncaknya. Kemuncak lain yang di rancang tetapi kemuncak lain yang tiba. Gerakan Baju Merah telah menyebabkan Perdana Menteri Thailand , Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di Bangkok.

Saya melihat isu yang berlaku di negara Gajah Putih ini adalah satu daripada rentetan gerakan kuasa jalanan rakyat yang mengatakan mereka lebih faham tentang demokrasi. Kejadian ini bukan senuatu yang baru di rantau Asean. Indonesia telah mengalaminya suatu ketika dahulu. Kepiminan Presiden Suharto tumbang kerana gerakan jalanan ini. Mahu di katakan ini sebagai trend mungkin ada kebenaranya namun apa yang merisaukan saya ialah sejauhmanakah kefahaman masyarakat terhadap intipati demokrasi itu. Adakah hanya jalanan yang berhak membuktikan demokrasi itu hidup di rantau Asean ini?

Keterbukaan dasar politik yang rasai oleh rakyat Thai akhirnya dirosakkan oleh sendiri oleh rakyatnya. Di era ekonomi dunia yang semakin menghimpit , Thailand seakan-akan kian tenggelam akibat kerakusan , kegilaan untuk membolehkan seorang individu berkuasa. Pada hemat saya, jelas Thailand di landa simptom " niat yang menghalal kan cara" . Darurat yang di umumkan oleh Abhisit tidak mempunyai jalan keluar yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin magis Raja Bhumipol perlu untuk mententeramkan kegilaan rakyatnya.

Mungkin juga ada rahmat dan hikmahnya hal ini berlaku. Malaysia dapat belajar dari negara jiran tetangga. Sebelum penyakit menjadi pekung hingga ke kanser ia harus di rawat dahulu secepet mungkin. Walaupun iklim politik di tanah air dewasa ini juga suam-suam namun kesyukuran harus kita panjatkan kepada Ilahi kerana dalam suam-suam itu kita masih mampu duduk berlainan meja di restoran mamak sambil menjamah roti canai dan teh tarik dengan selesa.


salam dari hamba

tun megat

Friday, April 10, 2009

Barisan Kabinet Najib (versi 2009)

Ada nama baru dan lama di senaraikan.

Semestinya ada yang gembira kerana tersenarai dan ada yang berduka kerana digugurkan. Kepada yang terpilih, genggamlah hasrat dan iltizam untuk bekerja dengan jujur dan ikhlas. Kepada yang digugurkan terimalah hakikat kerana semua yang terjadi adalah ketentuan Ilahi. Memetik kata-kata dari sebuah rancangan kanak-kanak di tv (Wonder Pet) " Apa yang penting...kerjasama" adalah amat bertepatan di kala Perdana Menteri ke 6 (DSNR) memerlukan sokongan dari semua pihak.

Yang digugur tidak perlu berduka cita kerana dunia kiamat. Jawatan itu bukanlah sesuatu yang kekal untuk disimpan secara peribadi. Jika kita pasrahkan nasib kita pada Ilahi tentunya kita akan menerima kenyataan dengan berbesar hati dan berlapang dada. Pemimpin datang dan pergi itu perkara bisa, apa yang perlu menjadi agenda utama sekarang ini ialah RAKYAT. Rakyat perlukan pembelaan. Rakyat perlukan pemimpin yang mendengar luahan mereka. Rakyat perlukan pemimpin yang turun padang melihat mereka dan rakyat perlukan pemimpin yang "mesra alam" serta berjiwa muda. Jika kesemua tuntutan rakyat ini dapat dipenuhi, insyaAllah pemimpin itu akan disanjung dan disayangi.

Ramai pemimpin yang boleh bercakap tetapi rakyat perlukan pemimpin yang cekap bertindak. Hakikatnya bukan mudah untuk memenuhi keinginan rakyat tetapi jika pemimpin itu bijaksana dalam menggariskan haja tuju , saya berpendapat rakyat akan menerima jika alasan itu logik dari sudut akal fikirannya.

Kepada pemimpin yang digugurkan, jutaan terima kasih di ucapkan atas segala jasa-jasa yang telah ditaburkan selama ini dan kepada " line -up" baru pula bersedialah untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Apabila sudah mengangkat sumpah maka beringatlah supaya jangan diri di makan sumpah.

Selamat maju jaya memimpin negara
Semoga Allah memberkati segala usaha yang murni demi kesejehteraan Malaysia


salam hormat dari hamba

tunmegat

Thursday, April 9, 2009

Banggalah dengan Negaramu

Salam sejahtera buat semua.

Hari ini saya ingin menulis tentang peri pentingnya semangat " Bangga dengan Negara". Saya ada seorang kawan yang datang dari Myanmar. Beliau berketurunan Rohingya. Menetap di Malaysia hampir 5 tahun. Bermula dari bertatih-tatih bercakap bahasa Melayu kini lancar seperti sudah lama bermastautin di sini. Apabila saya melontarkan soalan, adakah beliau mahu pulang ke negara asalnya?..Beliau menjawap, lebih baik mati di bumi Malaysia kerana di sini aman , makmur dan orang menghormati antara satu sama lain. Penghormatan seperti itu tidak diperolehi beliau semasa di Myanmar kerana keturunannya tidak diberikan hak sama rata oleh pemerintah. Kesian tapi itu adalah kenyataan. Lebih seronok di dengar dari mulut beliau, banduan di Malaysia ini lebih cukup makannya berbanding orang-orang yang bebas di negaranya.

Saya bertanya lagi, berapa pendapatannya sebagai pembantu di kedai makan? Jawabnya, RM 800 sebulan. Berapa pula yang beliau belanja untuk dirinya? hanya RM 150 sahaja selebihnya di hantar ke Myanmar untuk ibunya. Saya bertanya lagi, cukupkah dengan hanya berbelanja RM 150 sebulan. Jawabnya, lebih dari cukup kerana di sini beliau tidak lagi kelaparan kerana sudah di tanggung majikan (tauke restoran), tempat tinggal pun di sediakan lengkap dengan kipas angin , katil dan televisyen. Kalau di negaranya, untuk memiliki semua itu hanya mimpi. Rumahnya di Myanmar amat daif, tiada bilik untuk ayah ibu, adik beradik, tiada bilik air dan tiada bekalan elektrik. TV , kipas angin , dapur gas, lampu dan paip air itu adalah satu kemewahan yang hanya diperolehi oleh golongan tertentu.

Terkesima saya mendengarnya. Kesian tapi itulah kenyataan. Itu belum lagi anda semua mendengar cerita tentang mereka di halang untuk beribadat. Saya diberitahu, di negaranya azan tidak boleh dilaungkan menerusi corong-corong PA sistem. Hanya laungan dari mulut bilal sahaja di benarkan. Syiar Islam hanya disampaikan melalui madrasah-madrasah yang di bina sendiri dengan tanpa bantuan pemerintah. Menurut beliau lagi, beliau mula mengenali seluar kira-kira 5 tahun lalu. Selama ini beliau hanya memakai kain pelikat sahaja. Mempunyai "handphone" sendiri kira-kira 2 tahun lepas adalah satu bentuk kemewahan yang tidak pernah beliau impikan. Syurkurnya tidak terkata kerana beliau berada di Malaysia dan beliau amat berharap agar kehadirin beliau di sini biarlah untuk selamanya. Ditanya pula adakah beliau berbangga dengan negaranya?..Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Hanya renungan jauh di lemparkan. Saya dapat rasakan jawapan yang hendak diberikan cuma ianya tidak hadir menerusi kata-kata. Dia meneruskan kerja-kerjanya di restoran. Saya menghabiskan makanan dengan penuh rasa kesyukuran kerana saya berada di bumi bertuah ini. Dan semua kisah yang di tulis tadi ketika saya menuntut di UKM 2 tahun lepas.

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton sebuah filem bertajuk Slumdog Millionaire. Setibanya di adengan yang memaparkan kehidupan masyarakat setinggan di Mumbai, saya teringat rakan Rohingya saya. Mungkin rumahnya di sana seperti yang dipaparkan dalam filem tersebut. Kepada beliau yang sudah 2 tahun saya tak jumpa, saya doakan beliau selamatlah hendaknya dan kepada rakyat Malaysia saya sarankan untuk cubalah menyelami hati-hati pendatang-pendatang ini. Mungkin kita dapat belajar sesuatu dari mereka untuk kita menghargai dan berbangga dengan negara kita.


salam hormat dari hamba


tunmegat

Wednesday, April 8, 2009

Terjawab Sudah Semua Teka-Teki

Berapa ramai yang gembira? Berapa ramai pula yang berduka. Yang menang pasti akan mencaturkan strategi untuk meneruskan kecemerlangan dalam pentadbiran. Yang kalah akan mencongak-congak akan strategi pertempuran akan datang.

Seronok melihat gelagat apabila adanya pilihanraya kecil. Masing-masing dengan gaya dan cara untuk memenangi hati pengundi. Ada yang tonjolkan calon anak tempatan, ada yang berpaut pada isu nasional, ada yang mengeluarkan isu persekitaran malah ada yang hanya melihat tanpa berkata apa-apa. Semua terlibat, dari yang tua hingga yang muda, dari "Orang Putrajaya" hingga lah "Orang Kota Bahru, Penang dan Selangor". Masing-masing membawa harapan menggunung tinggi namun dalam peperangan akan pasti ada yang tewas.

Kadang-kadang kita rasakan bahawa gajah tidak mungkin kalah kerana saiz badannya besar tetapi di kedua-dua bukit yang terbabit dalam pertempuran itu gajah telah tumbang. Persoalannya kenapa gajah boleh tumbang? Adakah tidak cukup makan atau terlebih makan sebelum masuk ke medan perang? Atau gajah itu terlalu sombong hinggakan tidak perasan nyamuk yang kecil terlebih dahulu masuk ke telinga lalu menggigit gegendangnya. Ternyata apabila berperang, panglima wajib tahu menyusun strategi.

Bagi saya, Barisan Nasional tidak belajar dari kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Jentera yang dihantar seperti askar yang dipaksa berperang berbanding di pihak yang satu lagi. Seperti artikel saya yang lepas , berkenaan 2 bintang bersinar, saya menggariskan tentang keikhlasan dan kejujuran. 2 perkara besar ini sukar di lihat di kalangan perajurit Barisan Nasional berbanding laskar Pakatan Rakyat. Minat untuk menyertai angkatan perang BN amat berbeza dengan minat yang ditunjukkan oleh laskar-laskar PR. Darah-darah muda dalam PR meluap-luap hinggakan hanya 2 orang diperlukan untuk menahan sebuah bas yang membawa perayu undi di Bukit Selambau.

Dari sudut pengorbanan pula, semangat mereka amat luar biasa seperti semangat orang UMNO di tahun 1946 dahulu semasa menentang Malayan Union dan semangat semasa mendapatkan kemerdekaan 1957 yang memerlukan korban harta benda , jiwa dan raga. Kenapa semangat ini beralih tangan? Kenapa UMNO yang mencetus gerakan rakyat tidak mampu kekalkan semangat ini? Mungkin juga ini balasan dari yang Maha Esa kerana kita terlalu alpa apabila kita senang. There is no more comfort zone for UMNO and Barisan Nasional.

Pada pandangan saya, BN tenggelam dalam pembangunan yang dibinanya sendiri. Namun perlu diingat, tenggelam bukan bererti mati, masih ada cara untuk selamatkan diri. Hakikat ini perlu disedari oleh Jeneral dan angkatan BN. Segala sifat-sifat mazmumah perlu dibuang. Kikis segala hasad dengki. Rawat semua pekong di badan. Merendah dirilah supaya mudah mencerap segala permasalahan golongan marhain.


Maaf dipinta sekiranya terkasar bahasa.
Cuma meluahkan apa yang terbuku di dada.
Bukan bertujuan mengata sesiapa.
Tetapi untuk melihat semua bangsa terbela.

salam hormat dari hamba

tunmegat

Tuesday, April 7, 2009

7 April 2009

3 tempat berlainan tapi satu perjuangan. Semua yang masuk gelanggang dengan 1 harapan...Menang. Tetapi hanya seorang sahaja yang akan diumumkan sebagai juara (YB). Rata-rata rakyat tahu siapa yang mereka mahu. Jawapanya akan kita perolehi lewat petang atau malam ini. Apapun , yang pasti semua jawapan itu ada pada yang maha ESA. Kita sebagai manusia ciptaannya hanya perlu menjalankan kewajipan yang di perintahkan.

Saya juga menantikan jawapan untuk ketiga-tiga medan pertempuran ini. Sejak seminggu dua yang lalu pelbagai strategi digunakan untuk menang. Ada yang menggunakan strategi bertahan, ada yang menyerang, ada yang agak brutal , ada yang agak "play safe" dan yang pasti semuanya all out hingga jam 5 petang ini. Persoalannya, adakah rakyat akan terbela sekiranya YB telah terpilih? Kalau terbela nasib rakyat, Alhamdulillah. Kalau sebaliknya, janganlah marah kerana sendiri yang pilih.

Saya melihat proses demokarasi di Malaysia ini masih lagi subur kerana peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja meluahkan hasratnya. Semua diberikan peluang sama ada parti kerajaan atau tidak. Cuma kelebihan ada dipihak parti kerajaan. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di semua negara di dunia seperti Singapura dengan penguasaan parti kerajaan pimpinan Menteri Kanannya Lee Kuan Yew. Di Venezuela juga begitu, Hugo Chavez terus memimpinnya. Kemungkinan juga Presiden Indonesia (Susilo Bambang Yuhdiyono) akan terus memimpin Indonesia selepas 107 juta rakyatnya mengundi tidak lama lagi.

Saya amat-amat yakin bahawa rakyat Malaysia sudah matang dalam membuat pilihan namun kematangan sahaja belum mencukupi kalau tidak dituruti dengan pemikiran yang rasional. Pemikiran yang rasional ni bukan sahaja merujuk kepada kebijaksanaan seseorang itu malah ia juga merujuk kepada pertimbangan yang wajar.

Pada hemat saya, Malaysia sememangnya bumi yang bertuah dan kita selaku rakyatnya wajib mempertahankan tuahnya tanah ini. Adalah malang sekali jika rakyat di bumi bertuah ini tidak mampu menilainya.


salam dari hamba

tunmegat

Thursday, April 2, 2009

GLOBALVILLAGE

Pada hari ini akan bermula persidangan kemuncak G20 di London. Pastinya pemimpin-pemimpin negara maju yang bersidang akan membincangkan pelbagai agenda demi kepentingan negaranya dan juga dunia. Pelbagai isu akan dikupas dan tentunya melibatkan banyak pihak dan juga penjelasan. Persoalannya kenapa semua ini menjadi perhatian ramai? Jawapanya ialah , kita kini berada di dalam perkampungan global (globalvillage) , ikuti kajian hamba mengenainya.


PENGENALAN

Dalam dua dekad terakhir abad ke-20, satu transformasi nampaknya telah melandai dunia. Fenomena ini yang dikenali sebagai globasasi telah mula diperkatakan oleh para sarjana serta mendapat pelbagai pemerhatian masyarakat dunia dan penulis di kalangan pelbagai disiplin ilmu. Konsep globalisasi bukanlah suatu yang baru tetapi dalam erti kata lainnya sebagai proses perubahan dunia yang dikatakan telah dimulai oleh penciptaan dan pencapaian baru dalam sejarah peradaban manusia iaitu penciptaan teknologi maklumat dan komunikasi baru. Pencapaian ini diikuti pula dengan perubahan dalam skala dan sifat penghasilan barang dan perkhidmatan; pembahagian global bagi tenaga kerja dan kuasa; saiz dan keluasan serta sifat pasaran, perdagangan dunia, perdagangan matawang; penyebaran maklumat, berita dan budaya material dan bukan material.

Kecelaruan dan kepelbagaian definisi tentang globalisasi menyebabkan kesukaran pengkaji untuk mencapai suatu titik bersama bilakah bermulanya globalisasi. Istilah “globalisasi” pertama kali diperkatakan bermula pada tahun 1960. Bagaimanapun sesetengah pengkaji mendakwa bahawa globalisasi masih belum wujud lagi. Walaupun begitu, umumnya ada beberapa pandangan yang boleh dipertimbangkan bagi tujuan persejarahan tersebut. Antara peristiwa-peristiwa yang boleh dipertimbangkan mencakupi peluasan kapitalisme Eropah secara besar-besaran yang berlaku dalam abad ke-16 berikutan perlayaran mengelilingi dunia yang pertama antara tahun 1519 dengan 1521. Selain itu terdapat peluasan perdagangan dan pelaburan dunia secara besar-besaran pada akhir abad ke-19. Perkembangan ini terhenti seketika akibat Perang Dunia Pertama dan kepercayaan terhadap fahaman anti perlindungan perdagangan bebas (anti-free trade protectionism) yang membawa kepada zaman kemelesetan Great Depression dalam tahun 1930. Sesetengah orang melihat tempoh ini sebagai era gangguan kepada proses globalisasi yang dikatakan bermula pada akhir abad ke-19 itu.

Walaubagaimanapun dari pemerhatian yang lain, dunia dikatakan bersatu apabila wujudnya Garis Tarikh Antarabangsa (International Date Line) dan zon waktu dunia yang seragam seiring dengan penerimaan kalendar Gregorian yang hampir menyeluruh atau global antara tahun 1875 sehingga 1925. Dalam tempoh tersebut, piawaian antarabangsa juga dipersetujui bagi sistem telegraf dan isyarat (telegraphy and signaling). Selepas tamat Perang Dunia Kedua bermulalah perluasan kelompok kapitalisme yang lain dengan perkembangan syarikat-syarikat multinasional yang berminat dalam penghasilan dan penjualan komoditi di dalam pasaran domestik negara-negara seluruh dunia. Pembebasan negara jajahan mewujudkan aturan dunia baru (new world order). Peristiwa kejatuhan Tembok Berlin dan keruntuhan Kesatuan Soviet (Soviet Union ) menyebabkan berakhirnya perang dingin antara kuasa-kuasa kapitalisme dan sosialisme dengan memberi kemenangan kepada pihak kapitalisme.Menerusi persejarahan ini, tidak dinafikan bahawa globalisasi merupakan suatu proses kapitalis. Situasi ini bermula apabila berlakunya keruntuhan Kesatuan Soviet dan sosialisme sebagai suatu bentuk organisasi ekonomi alternatif yang berdaya maju. Perkembangan internet menjadikan organisasi perniagaan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan. (Dr. Lim Kim Hui-2003 ).
Secara kronologi, teori globalisasi merupakan lanjutan daripada teori modenisasi. Antara ciri yang menghubungkan kedua-dua teori tersebut ialah keprihatinan teori-teori berkenaan terhadap keadaan manusia secara global (global human condition). Sarjana Roland Robertson (1985) berasa amat prihatin terhadap asas moral manusia secara global. Keprihatinan terhadap keadaan manusia pada peringkat global dipaparkan dengan agak nyata dalam perbincangan atau penulisan tentang perkembangan sosial ekonomi global. Misalnya, isu hak ekonomi dan politik, kualiti hidup serta keperluan asas untuk kumpulan-kumpulan manusia tertentu pada peringkat global dijadikan tema dialog dan forum antarabangsa. Aspek ini dalam konteks globalisasi menjadi semakin ketara apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi antarabangsa mempunyai kesedaran dan memberi perhatian terhadap taraf hidup minimum untuk masyarakat dunia ini.

Globalisasi sering dikaitkan dengan pelbagai perkara dalam konteks yang berlainan. Secara umumnya ramai orang melihat globalisasi sebagai suatu fenomena ekonomi yakni melibatkan pertambahan interaksi atau integrasi sistem ekonomi negara melalui perkembangan dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan dan aliran modal. Walau bagaimanapun pendapat ini disangkal oleh tokoh-tokoh globalisasi yang lain kerana kalau diteliti globalisasi boleh juga merujuk kepada peningkatan pantas terhadap pertukaran sosial, budaya dan teknologi yang melampaui sempadan negara sebagai sebahagian daripada fenomena globalisasi.

Ahli sosiologi, Anthony Giddens, mentakrifkan globalisasi sebagai penyahgandingan (decoupling) ruang dan masa, memberi penekanan kepada komunikasi, ilmu pengetahuan dan budaya segera yang dapat dikongsi secara serentak di seluruh dunia. Para pengkritik kiri globalisasi mendefinisikan perkataan tersebut dengan cara yang amat berbeza, menggambarkannya sebagai suatu bentuk pacuan seluruh dunia ke arah sebuah sistem ekonomi global yang didominasi oleh perdagangan korporat dan institusi perbankan supranasional yang tidak bertanggungjawab kepada proses-proses demokrasi atau pemerintah negara.

GLOBAL VILLAGE – MARSHALL Mc LUHAN

Melalui karya agungnya Understanding Media, Marshall Mc Luhan memberi pernyataan bahawa kita manusia menerusi penciptaan dan pengembangan bidang teknologi lebih seabad lalu telah menguasai sistem global ini melangkaui kemampuan hakiki manusia dengan mengenepikan jangkauan jarak dan masa.

Menurut konsep pemahaman dan pandangan Mc Luhan, bidang teknologi dan eletronik seakan menjadi penyambung kepada keupayaan deria penglihatan dan pendengaran kita. Mc Luhan membayangkan bahawa peralatan teknologi seperti telefon dan radio adalah sebagai deria tambah bagi keupayaan pendengaran manusia sementara komputer dan televisyen adalah sebagai mata tambahan yang kedua-duanya memberi keupayaan yang lebih jauh dan luas capaiannya berbanding sistem biologikal sebenar mata dan telinga kita. Persoalannya, bagaimana Mc Luhan melihat kewujudan ini?

Bagi Mc Luhan, kepantasan dan kelajuan capaian komunikasi media eletronik adalah mengatasi keupayaan sistem deria manusia. Melalui pewujudan media eletronik yang pelbagai seperti radio, televisyen, telefon dan yang terkini komputer dengan rangkaian internetnya, telah memudahkan kita berhubung, berkomunikasi dan melihat dunia jauh melalui jaringan yang terbina di seluruh dunia. Kini, kita boleh mencapai pelbagai maklumat di serata dunia menerusi mata dan telinga dalam beberapa saat sahaja. Pelbagai peristiwa dan berita dapai kita ikuti menerusi media eletronik tanpa terbatas oleh masa dan jarak. Keadaan ini amat jauh berbeza berbanding dengan keadaan masyarakat dizaman dahulu yang menyalurkan maklumat melalui komunikasi perorangan, surat-menyurat dan sebagainya yang memungkinkan penokoktambahan dalam setiap maklumat dan mengakibatkan maklumat tersebut menjadi kurang sahih. Bagi Mc Luhan, kepantasan dan kelajuan media eletronik ini menyebabkan kita mampu membuat keputusan segera ke atas sesuatu tindakan hasil daripada peristiwa yang berlaku di tempat lain. Sebagai contoh, dalam memilih barisan pucuk pemimpin negara, kita boleh membuat pertimbangan walau tanpa bersemuka dengan bakal pemimpin itu dengan hanya mendapatkan maklumat mengenainya menerusi pemerhatian dan pendengaran kita terhadap berita dan maklumat melalui media eletronik hari ini.

Bagi Mc Luhan, penyebaran maklumat, pengumpulan data antara penyampai dan penerima bergerak dalam pelbagai hala tanpa ada sempadan jarak dan masa. Kalau sebelum ini kita mengambil kisah terhadap apa yang berlaku di sekitar komuniti kita, maka kaedah ini memberi ruang baru kita melangkaui batas sempadan dunia. Pengalaman baru ini turut mempengaruhi tingkah laku kita dalam skala global yang akhirnya turut mempengaruhi persekitaran fizikal kita. McLuhan melihat ini sebagai kaedah mengecilkan ruang. Tambahnya, komunikasi berwayar ini telah mewujudkan dunia tanpa sempadan atau Global Village.

Sebelum memberikan sebarang justifikasi terhadap pandangan Mc Luhan ini, kita perlu memahami maksud di sebalik metapora yang wujud ini. Menerusi ungkapan Desa (Village) , keadaan ini menggambarkan suatu tempat atau suatu entiti kecil yang mana di dalamnya terdapat sekelompok manusia yang dapat berkomunikasi dengan pantas serta memaklumi akan segala peristiwa yang berlaku di persekitarannya. Menerusi keadaan ini Mc Luhan berpendapat :- Time has ceased, space has vanished! We now live in a global village…. A simultaneous happening. (1967: p 63).

Di samping itu menerusi perkembangan teknologi seperti televisyen, kita seakan dapat merasai dan mengalami pelbagai peristiwa dan kejadian di masa lalu mahu pun yang terkini walau pun ketika kita sedang berada di rumah sendiri. Sebagai contoh, pembedahan memisahkan pasangan kembar siam Iran di Singapura sedikit masa dahulu telah mendapat liputan yang cukup meluas di serata dunia. Malahan kegagalan pembedahan ini yang telah menyebabkan kematian kedua-dua kembar ini telah diratapi bukan sahaja oleh sanak saudara yang berada di sisi mereka ketika itu, tetapi turut ditangisi oleh segenap lapisan masyarakat dunia yang mengikuti perkembangan pembedahan ini. Melalui situasi ini, ada pelbagai pandangan dan pendapat yang dikemukakan. Terpulang kepada pemahaman penerima maklumat tersebut.

Dari pandangan serta konteks yang lebih meluas, Desa Sejagat atau Global Village mewakili satu komuniti serta keseluruhan idea yang dibawa oleh kumpulan masyarakat tersebut membentuk satu komuniti global. Pada situasi ini Mc Luhan menjelaskan bahawa : We live mythically and integrally. In the eletric age, when our central nervous system is technologically extended to involve in the whole of mankind and to incorporate the whole of mankind in us, we necessarily participate in the consequences of our every action. (1964: p.4)

Menurut Mark Beaulieu (1996), kita menyaksikan kesan kebalikan daripada kepantasan eletrik dalam jaringan media eletronik yang mewujudkan manusia tanpa tubuh dan tanpa siapa-siapa dalam rangkaian itu. Ledakan jaringan komunikasi berwayar ini mencipta satu rupabentuk bumi yang sangat dalam maknanya bagi setiap individu penggunanya. Kita sebenarnya mencipta persona dalam kehidupan ini. Ini menyokong pernyataan Mc Luhan bahawa : The aspiration of our time for wholeness, emphathy and depth of awareness is a natural adjunct of electric technology. There is a deep faith to be found in this attitude a faith that concerns the ultimate harmony of all being. (1965: p. 5).
Melalui pandangan idealistik Mc Luhan inilah, masyarakat dunia memperolehi kepentingan dan kesepaduan internet. Kemunculan internet dalam jaringan integrasi global telah membentuk satu komuniti global. Satu kuasa utama internet ialah kemampuannya memecahkan pemusatan kuasa dan membantu membentuk satu komuniti yang hidup dalam situasi yang lebih harmoni dengan tanggungjawab yang lebih komprehensif. Di samping itu, individu yang melayari internet boleh mengakses pelbagai maklumat dengan bebas dan terbuka tanpa sebarang saringan. Namun begitu setiap bentuk maklumat yang ingin dicapai tidak datang dalam bentuk pakej sebagaimana yang dikehendaki tetapi lebih bergantung kepada intepretasi yang berkait rapat dengan pengalaman peribadi individu berkenaan. Maka tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa keupayaan komunikasi dan teknologi yang dibangunkan sebagai tiang asas desa sejagat ini memudahkan urusan harian setiap individu di dalamnya disamping memudahkan anggota masyarakatnya berhubung antara satu sama lain tanpa sebarang halangan. Mc Luhan mengandaikan bahawa seluruh populasi dunia akan berkomunikasi dengan sistem teknologi yang sama tahapnya dengan kadar perolehan maklumat yang tinggi pada bila-bila masa. Istilah Global Village yang mula diungkapkan dalam tahun 60-an mengungkapkan kepercayaan Mc Luhan bahawa komunikasi elektronik akan menyatukan dunia. Nyata, kemunculan internet sepanjang tempoh beberapa tahun ini telah menyelarikan kemunculan globalisasi sebagai sebuah konsep.

Kesimpulannya internet mempercepatkan globalisasi. Ruud Lubbers seorang sarjana Belanda yang mengendalikan sebuah laman web mengenai globalisasi, mendefinisikan globalisasi sebagai suatu proses dalam mana jarak geografi menjadi suatu faktor yang semakin kurang kepentingannya dalam membangunkan dan memelihara hubungan ekonomi, politik dan sosio-budaya melampaui batasan sempadan.


Pandangan Roland Robertson

Bagi Robertson, dalam konteks global suatu norma dan etika kehidupan yang baik dan diterima pakai oleh sesebuah masyarakat boleh dilihat dalam pelbagai imej yang kadang kala sukar diterima oleh masyarakat lain di dunia ini. Dari sudut pandangan ini, individu yang tergolong dalam kelompok komuniti yang berhubungan dalam desa sejagat mampu menerima dan menyetujui norma dan etika yang diwujudkan dalam kesejagatan perhubungan itu. Melalui metodologi perhubungan komunikasi menerusi media elektronik ini juga umat manusia disatukan dalam globalisasi yang membawa satu dunia sosial yang melahirkan anggota individunya yang mempunyai dua kerakyatan atas nama perbandingan. Kerakyatan pertama mewakili asal (masyarakat kebangsaan) individu dan kerakyatan kedua adalah yang terwujud melalui perhubungan yang terjalin dengan anggota masyarakat desa sejagat (masyarakat maya) yang saling berhubungan tanpa halangan jarak dan masa melalui sistem komunikasi berwayar.


Globalisasi pada pendapat Robertson adalah satu proses yang menjadikan dunia saling bergantungan. Masyarakat kebangsaan akan tetap wujud tetapi tidak lagi menjadi penentu utama identiti individu. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia memang terkenal dengan pelbagai sajian hidangan mengikut kaum yang terhimpun di negara ini. Namun hasil pengulangan konsep macdonaldlization dalam media massa juga media elektronik maka terhasil perubahan tingkahlaku melalui tabiat pemakanan di kalangan rakyat Malaysia. Bagi Robertson inilah partikularisasi dalam universalisme. Kepelbagaian dalam kesejagatan ini membawa kepada hubungan dan perkaitan yang mudah disesuaikan.


Globalisasi sering dikaitkan dengan pelbagai perkara dalam konteks yang berlainan. Dalam konteks sosial menurut Martin Albrow (1990), globalisasi merujuk kepada proses manusia di dunia disatukan dalam komuniti sosial dunia yang diberi nama masyarakat global. Bagi Robertson pula, globalisasi adalah tanggapan terhadap dunia sebagai satu tempat, kewujudan keadaan manusia yang global dan kesedaran sejagat terhadap dunia (King. 1990). Robertson (1992 : p. 8) merujuk globalisasi sebagai pemampatan dunia disamping intensifikasi terhadap kesadaran sejagat terhadap dunia.


Rumusan terhadap pandangan Mc Luhan

Jika kedua-dua pendapat Albrow dan Robertson ini diterima sebagai benar, maka manusia sejagat hanya mempunyai satu identiti sahaja iaitu satu identiti global. Dunia pula tidak dibahagi-bahagikan mengikut sempadan. Pemampatan dunia membawa implikasi bahawa dunia semakin kecil. Ini merujuk kepada fenomena perkembangan pesat infrastruktur pengangkutan dan telekomunikasi. Selain itu, masyarakat global mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap dunia misalnya pengekalan dan pemuliharaan alam sekitar dan penjagaan keamanan dunia. Oleh itu, globalisasi dapat membawa erti pewujudan masyarakat global dalam dunia tanpa sempadan. Pengertian ini adalah berkaitan dengan frasa popular Marshall Mc Luhan yang diungkapkan melalui pelbagai karyanya di sekitar 60-an yang menyebut mengenai Global Village.


Namun begitu, kemajuan dan perkembangan peradaban manusia mengakibatkan ungkapan global village secara sosiologinya menjadi kurang tepat dan terpesong. Robertson (Albrow, 1990) berpendapat adalah lebih sesuai dan tepat memikirkan dunia ini sebagai satu global town berbanding global village. Menurut Robertson, village yang membawa maksud kampung dalam ungkapan global village itu dianggap terkongkong dengan pengertian retorik yang bersifat nostalgik.


Kedudukan Orang Islam dalam menghadapi Global Village


Agama dan pengaruh barat atau westernization merupakan agen bukan ekonomi yang dikaitkan dalam konteks globalisasi politik dunia. Melalui pemupukan satu agam yang sama memenuhi syarat globalisasi iaitu pewujudan masyarakat global. Masyarakat yang beragama sama berkemungkinan besar berkongsi budaya dan amalan yang sama iaitu hanya dibezakan melalui sebahagian kecil amalan tradisi semangat. Kesan agama terhadap hegemoni masyarakat dapat dilihat melalui penyebaran agama Islam di rantau Asia Tenggara. Jika penyebaran agama merupakan imej proses globalisasi diterima benar, maka proses globalisasi sebenarnya sudah wujud sebelum ungkapan globalisasi itu wujud. Pengglobalisasian agama Islam di Asia Tenggara wujud beberapa abad sebelum terciptanya perkataan globalisasi. Westernization dianggap sebagai imej globalisasi seperti pengaruh agamakerana ia juga berupaya membentuk masyarakat global yang berfikiran sama iaitu berfikiran seperti masyarakat di Barat. Kedua-dua penyebaran agama dan konsep westernization ini membawa kepada anjakan paradigma, penyesuaian sistem politik dan perubahan hubungan politik, sosial dan ekonomi.

Jika diteliti secara mendalam globalisasi adalah jelmaan terakhir dari system ekonomi kapitalis yang bertunjang dan berlandaskan prinsip dan nilai-nilai yang sebahagian besarnya bertentangan dengan Islam. Ciri asas system ekonomi ini ialah penekanan mutlaknya kepada budaya kebendaan dan penafiannya terhadap nilai kerohanian dan nilai kudus. Oleh itu, di peringkat dasar lagi objektif globalisasi akan sentiasa bertentangan secara langsung dengan kepentingan dunia umat Islam. Dunia Islam mungkin mendapat faedah daripada pendekatan pasaran bebas di peringkat antarabangsa melalui system ekonomi ini tetapi faedah yang diperolehi darinya tentulah bersifat pinggiran (marginal) dan kecil sahaja berbanding faedah yang berlipat kali ganda yang dikaut oleh pencetus dan pengawal globalisasi yakni negara-negara kaya itu sendiri.

Malangnya hari ini, ekonomi negara-negara Islam telah terkait dan terperangkap dalam system ekonomi kapitalis dunia yang sedang bergerak dengan cukup dominan. Apa yang jelas, negara-negara Islam hanya menjadi lampiran (appendage) semata-mata kepada ekonomi negara-negara maju yang kaya dan berkuasa. Bertambah parah lagi apabila golongan elit minoriti yang memerintah negara-negara Islam pula, samada pemimpin yang dipilih, diktator atau pemerintah feudal yang terlantik secara turun-temurun telah mengaut manfaat semaksimanya daripada proses globalisasi ini. Mereka sanggup bersekongkol dengan syarikat-syarikat Trans-National (TNCs) dan institusi-institusi kewangan asing seterusnya mengeksploitasi rakyat mereka sendiri.

Globalisasi yang ditunjangi oleh sistem kapitalisme global memperkenalkan doktrin individualieme, materialisme, konsumerisme dan hedonisme yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Islam menegaskan bahawa semua kekayaan adalah milik Allah dan manusia hanya sebagai pemegang amanah kepada harta yang dianugerahkan kepadanya. Sebagai pemegang amanah, seorang Muslim mestilah menggunakan kekayaannya bukan ke atas perkara-perkara yang membazir atau mengeksploitasi orang lain tetapi hendaklah dengan penuh tanggungjawab untuk memelihara kebajikan masyarakat dan alam sekitar.

Akibat daripada aplikasi sistem ekonomi neo-kolonial ditambah dengan amalan pemerintahan secara feudal , banyak negara Islam terperangkap dalam kemiskinan dan menjadi negara termundur di dunia. Sebagai contoh, kita lihat negara Pakistan. Selepas 54 tahun merdeka dengan populasi 135 juta penduduk, Pakistan mempunyai keluaran kasar kasar (KNK) sebanyak 470 dolar Amerika per kapita. Kadar buta huruf di kalangan wanita dewasanya ialah 71% manakala lelaki dewasa pula 42%. Sebaliknya negara China dengan populasi tertinggi di dunia iaitu seramai 1,250 juta penduduk, mempunyai KNK sebanyak 780 dolar Amerika per kapita. China mempunyai kadar buta huruf di kalangan wanita dewasa sebanyak 25% dan lelaki dewasanya sebanyak 9%.


Rumusan kedudukan orang Islam dalam Global Village

Dari pengalaman pahit ini sudah terbukti bahawa tiada satu jalan keluar yang terbaik untuk menghadapi arus ganas globalisasi ini melainkan dengan kembali kepada kekuatan ekonomi beretika dan bersifat manusiawi yang dapat ditawarkan oleh tradisi ekonomi dunia Islam. Adalah penting untuk diperakui dan diyakini bahawa selepas kejatuhan Komunisme, satu-satunya kuasa yang cukup kuat yang masih ada untuk memainkan peranan mengimbangi atau melawan arus dari luar proses globalisasi adalah dari dunia Islam. Ekonomi masyarakat Hindu dan China hari ini pun, nampaknya mahu bergabung sepenuhnya dengan ekonomi global walaupun akhirnya akan melemahkan peradaban identiti mereka sendiri.


Kesimpulan

Dengan menulis tentang desa sejagat (Global Village) Mc Luhan berjaya mewujudkan kesadaran tantang apa itu desa sejagat serta berjaya mengubah perspektif dan minda setiap individu tentang desa sejagat. Kesedaran ini muncul sebagai salah satu mesej yang rasional dan unggul. Namun Mc Luhan berpendapat bahawa The elctronic age has sealed entire human family into a single global tribe (1962: p. 8).

Mc Luhan juga melihat dunia ini sebagai dunia pelayaran teknologi dan maklumat bagi membentuk minda manusia yang hebat dari segi pelbagai aspek. Teknologi juga masih digunakan oleh setiap individu untuk memahami tentang persekitaran yang lebih harmoni serta dapat membantu dalam meramalkan dan mengawalnya. Mc Luhan berpendapat Today electronics and automation make mandatory that everybody adjust to the vast global environment as if it were his little home town. (1968: p. 11).

Berdasarkan pandangan Marshall Mc Luhan, global Village mempunyai nilai kebaikan yang agak ketara iaitu perhubungan antara manusia dari seluruh pelosok dunia menjadi terlalu mudah dan dari sudut positif kemudahan ini membolehkan prasarana kehidupan manusia menjadi lebih efektif dan menguntungkan banyak pihak. Perkara ini jelas. Contohnya melalui penyebaran agama, para pendakwah boleh berhubung sesama mereka walau pun berada di antara benua yang berbeza. Begitu pula halnya dari segi pengetahuan perubatan. Jika sebelum ini, untuk mendapat kepastian tentang pelbagai keraguan tentang perubatan, kita perlu melalui pelbagai prosedur yang agak birokrasi tetapi hari ini dengan adanya komunikasi berwayar yang mewujudkan Dunia tanpa sempadan maka keseluruhan pengetahuan itu berada di hujung jari.

Persoalannya, melalui sudut pandangan Roland Robertson, manusia yang secara lahiriah mempunyai kemahuan-kemahuan yang pelbagai dan ada waktunya terlalu mementingkan individualisme, telah menggunakan sepenuhnya keterbukaan dalam sistem komunikasi berwayar tanpa penyaring ini yang ditunjangi oleh kuasa-kuasa besar yang mahu kan penguasaan keseluruhan secara mutlak kepada dunia, untuk menyebarkan ideologi mereka yang berasaskan kemahuan untuk mengaut keuntungan dan menambahkan kekayaan tanpa memperdulikan kebajikan sesama manusia.

Seperti pandangan Robertson, globalisasi mampu merubah budaya keseluruhan dunia ini tanpa mengimbangi keperluan rohaniah insan yang menjadi anggota dalam komuniti penduduk alam maya Global Village. Penindasan dan penekanan terhadap keengganan untuk turut melayari arus globalisasi berlaku demi untuk menyeragamkan penduduk dunia.

salam global dari hamba

tunmegat

Kajian Hamba

Pengenalan

Dunia muzik telah merentasi jarak waktu yang meliputi aspek sejarah. Kita tidak dapat lari dan terpaksa hidup bersamanya selagi kita hidup. Muzik juga memainkan peranan penting dalam membentuk budaya dan gaya hidup sesuai dengan era masyarakat tersebut. Sebagai contoh, di era 50an, muzik telah membuat satu ledakan dengan memperkenal genre muzik Twist , era 60an genre Rock and Roll , era 70an genre Pop.(James Lull, 1992)

Bagi tugasan kali ini kami memilih genre muzik hip hop. Genre muzik ini yang dipercayai bermula sejak awal 1980an, dikenali sebagai genre Rap. Ia berasal dari barat (Amerika Syarikat) yang telah dipopularkan oleh golongan Afro-Amerika dalam menyampaikan mesej kekecewaan , kekesalan dan keinginan mereka yang terhalang oleh sistem negara itu yang telah meminggirkan mereka. Penyampai lagu-lagu mereka secara bersahaja dan penyanyi-penyanyi Rap ini menyanyikan lagu mereka secara bercakap. Unsur Faseto dan Vibrator suara tidak dipentingkan. Namun begitu, sejak awal 1990an unsur komersial telah dimasukkan , maka lahirlah artis Rap seperti Vanilla Ice, Run DMC, M.C Hammer, Notorious Big , Tupac Shakur dan lain-lain lagi. Fahaman-fahaman RAP “ West Coast” dan “East Coast” telah membawa pengaruh besar dalam arus budaya remaja di Amerika Syarikat. Hasil dari perkembangan teknologi elektronik, genre muzik Rap telah mengalami perubahan sehingga ia dikenali sebagai muzik genre Hip Hop.(James Lull, 1992)

Perkembangan pelbagai genre muzik di Malaysia seperti Rock, Rap, Trash , Balada dan Irama Malaysia telah mewarnakan industri muzik negara. Namun bagi kajian tugasan ini kami memilih genre muzik Hip Hop. Genre muzik ini mula diperkenalkan oleh beberapa kumpulan seperti Nautius Maximus yang bergerak di luar arus muzik perdana. Mereka bergerak secara “Underground” dan membawakan mesej-mesej serta pengaruh dari Amerika secara total. Namun pada awal 1990an seperti kumpulan 4U2C , Nico , KRU dan juga Feminin telah menyuntik eleman komersial dalam genre ini. Antara kumpulan Hip Hop yang popular di Malaysia ketika ini ialah The Tarik Crew, Ruffedge, Poetic Ammo dan VE. Bagi tugasan ini, kami memilih kumpulan Too Phat menerusi lagu ‘Alhamdulillah’ versi Bahasa Melayu dari album mereka iaitu 360° Platinum Edition sebagai bahan kajian.

Kelainan lagu ini ialah kerana liriknya lebih cenderung ke arah menyampaikan mesej dakwah Islamiah, walaupun dari sudut penampilan pemakaian dan rentak muzik mereka tidak langsung mencerminkan keadaan sedemikian. Persoalannya, mengapa lagu ini dicipta sedemikian dan kenapa pula Too Phat memasukkan unsur sajak dalam bahasa Indonesia dan ritma muzik dan lirik Arab dalam lagunya?

Sedangkan seperti yang sedia maklum,sebelum ini Too Phat lebih dikenali dengan lagu-lagu yang berunsurkan hip hop secara total namun berbeza pula dengan lagu mereka kali ini.Selain itu,tema yang sering dibawa oleh Too Phat berkenaan dengan kehidupan realiti manusia.Tetapi kali ini kumpulan Too Phat telah mengembangkan seni hip hop ini dengan menggubah sebuah lagu yang mempunyai unsur islamik.

Muzik menurut pandangan para sarjana muzik

Muzik?Apakah definisi sebenar muzik?Menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,muzik bererti gubahan bunyi yang mrnghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan bunyi-bunyiannya.

Muzik tidak kelihatan dan tidak dapat dipegang.Riwayatnya amat pendek tidak dapat diabadikan;muzik berkomunikasi sebelum muzik tersebut dapat difahami;dan muzik tidak dapat ditawan kembali,sehinggalah terciptanya alam perakam suara.Hal ini menyebabkan muzik dianggap mempunyai kuasa yang luar biasa dalam perhubungan dengan dunia lain.

Bagi Lomax ,1968 di dalam bukunya yang bertajuk Popular Music & Communication,muzik berhubung kait dengan divisyen seperti pekerjaan,hubungan gender,hubungan seksual,masalah sosial,kadar produksi dan aktiviti politik mengikut pertimbangan masing-masing.

Blacking’s (1973),muzik bukanlah sekadar menerangkan bagaimana kebudayaan sesuatu masyarakat itu dipaparkan tetapi lebih kepada perasaan dan persefahaman masyarakat itu yang sebenarnya.Tambahnya lagi,muzik merupakan satu tindak balas dan respon hebat yang diberikan oleh masyarakat berkenaan dengan nilai budaya mereka sendiri.

Selain itu,Wikipedia Ensiklopedia Bebas berpendapat muzik ialah bunyi yang diterima oleh individu dan berbeza bergantung kepada sejarah,lokasi,budaya,dan citarasa seseorang.

Menurut Hafiz iaitu seorang penyair sufi dari Paris berkata, “Banyak orang berkata bahawa hidup memasuki tubuh manusia melalui muzik,tetapi sebenarnya kehidupan itu sendiri adalah muzik” (Dewan Budaya,Februari,1998).Muzik adalah sebahagian daripada kehidupan dan oleh itu semula jadi sifatnya.Hati kecil kita tidak dapat menolak akan kewujudan dan keharmoniannya semula jadi sehingga jiwa kita menjadi tenang dan damai.Kita mendengar dengan asyik akan kekayaan Tuhan menjadikan angin yang meniup segala dedaun mengeluarkan bunyi yang merdu.Di pantai kita mendengar angin yang merembas pohon.Betapa agungnya kejadian Tuhan.Sedemikianlah muzik mengharmonikan aspek badan dan rohani manusia sehingga murnilah akan kewujudannya.Tetapi bukan tidak kedengaran suara-suara oleh golongan tertentu yang seolah-olah pula menjadi seperti suatu pendapat umum menolak akan kewijudan muzik.

Kata Ismail Hakki,pengarang kitab Al Nicat dari Turki bahawa “manusia yang berakhlak tinggi merasai harmoni alam semesta di dalam jiwanya melalui muzik”.Maka apakah salahnya jika para intelektual kita melibatkan diri dalam muzik?Muzik itu adalah bahasa fikiran dan hati rohani manusia.Oleh sifatnya yang sedemikian maka muzik mempunyai peranan yang cukup penting bagi meninggikan kualiti manusia.

Budaya hip hop dan isu semasa

Budaya hip hop telah lama menular di dalam negara kita namun begitu, budaya ini hanya tersebar dengan meluas pada awal tahun 1990-an. Hal ini berikutan dengan wujudnya kumpulan-kumpulan hip hop seperti 4U2C, Nico dan Feminin. Kini budaya hip hop semakin berkembang dengan adanya kumpulan-kumpulan baru yang membawa lagu-lagu yang berentak hip hop seperti Too Phat, Ruffedge, V.E, Teh Tarik Crew dan lain-lain lagi. Sebelum ini lagu-lagu berunsur hip hop telah digam oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana menganggap bahawa budaya ini tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia yang lebih ke arah ketimuran berbanding dengan budaya hip hop yang lebih ke arah barat.Sebenarnya permasalahan pengharaman lagu-lagu oleh RTM ini bukan satu perkara baru.Hal ini kerana lebih baik sekiranya pihak RTM mengambil inisiatif yang jelas bagi menghadapi permasalahan ini.Barangkali satu forum untuk perbincangan dan bertukar-tukar pendapat dan fikiran bersama-sama yang terlibat dan memberikan pengaruh yang besar dalam dunia muzik Malaysia hendaklah diwujudkan.Tentulah jalan yang sebaiknya adalah jalan musyuarah dan ini sangat penting untuk faedah bersama. (Dewan Budaya,Mac 1989)
Selain itu, anggapan bahawa lagu-lagu yang dibawa akan menjadi punca masyarakat hilang pertimbangan dan berlaku gejala-gejala yang tidak diingini. Setelah diamati, lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan Hip Hop ini banyak membawa maksud yang baik seperti menasihati masyarakat, memberi hiburan yang tidak melampaui batas-batas agama dan lain-lain.

Antara kumpulan hip hop yang mula menyerlah dan dapat diterima oleh penggemar muzik di negara kita adalah seperti Nautius Maximus dan Poetic Ammo. Selepas itu, kumpulan-kumpulan muzik yang membawa imej hip hop yang lain mula muncul. Irama hip hop telah lama bertapak di negara-negara Eropah. Antara penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu dan imej yang berunsurkan hip hop adalah seperti Eminem, The Black Eyes Peas, 50 Cent, PIMP, My Band dan lain-lain. Too Phat mula terkenal apabila mereka muncul dengan album kedua yang bertajuk Plan B dan lagu yang menaikkan lagu Too Phat ialah “Anak Ayam(Freak to the Beat)”. Too Phat mula menerima Anugerah Album Inggeris Tempatan Terbaik contohnya dalam Anugerah ERA, Too Phat memenangi anugerah tersebut bagi empat tahun berturut-turut bermula dari tahun 2001.

Kumpulan lain yang popular dengan lagu-lagu hip hop adalah seperti Ruffedge, dan lagu yang membawa mereka dikenali ramai ialah “Tipah Tertipu”. Lagu “Tipah Tertipu” yang dibawa oleh kumpulan Ruffedge ini telah digam oleh pihak RTM kerana lagu tersebut mengunakan bahasa rojak contohnya didalam bait lagu tersebut “melainkan tuan punya body”. Penggunaan bahasa rojak dikatakan boleh mempengaruhi generasi muda untuk terus menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan seharian dan terus memberikan cabaran kepada bahasa ibunda kita.Namun begitu,hasil daripada percubaan dan kreativiti para pemuzik,pengubah lagu,dan penyanyi haruslah dipandang dari perspektif yang positif.Hal ini kerana,jika mereka tidak menggabungkan unsur tradisional dan muzik kontemperari kemungkinan besar irama tradisional akan lupus dari kotak pemikiran masyarakat amnya dan remaja khususnya.

Artis luar negara yang popular dengan lagu-lagu yang berunsur hip hop adalah seperti Eminem. Beliau popular dengan lagu hitsnya “The Real Slim Shaddy”. Selain itu, The Black Eyes Peas juga adalah kumpulan hip hop yang popular. Lagu hits kumpulan ini ialah “Where Is The Love” yang membawa mesej keamanan. Lagu yang dibawa oleh kumpulan The Black Eyes Peas ini sememangnya menyedarkan masyarakat dunia tentang pentingnya hidup dalam keadaan yang aman damai. Lagu “Where Is The Love” menyedarkan masyarakat dunia tentang keperitan hidup dialam peperangan. “Where Is The Love” bukan menceritakan pencarian cinta 2 insan tetapi menceritakan tentang pencarian cinta sesama manusia. “Where Is The Love” sebenarnya dicipta ketika perang antara Amerika dan Iraq sedang meletus. Kesengsaraan hidup rakyat Iraq diutarakan dalam lagu ini. Lagu ini juga telah berjaya dipahat dihati para pendengar di seluruh dunia.

Budaya hip hop dianggap budaya negatif di negara-negara Eropah kerana Eminem contohnya selalu menyanyikan lagu-lagu yang berunsur lucah, ganas dan tidak sopan. Selain itu,beliau juga pernah menyanyikan sebuah lagu yang liriknya menyentuh tentang keinginannya untuk membunuh ibunya sendiri. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran masyarakat di negara kita.

Walaubagaimanapun bagi kumpulan hip hop di Malaysia, mereka tetap mengekalkan budaya ketimuran. Bagi kumpulan hip hop yang tersohor di Malaysia iaitu Too Phat mereka tetap kekal dengan imej dan lirik lagu yang bersih. Lagu-lagu yang dibawa oleh mereka tetap sopan malah mereka kerap kali membawakan lagu-lagu rakyat seperti “Anak Ayam” dan “Ala Canggung” dalam versi hip hop. Ini sekaligus dapat menaikkan imej Malaysia di mata dunia kerana album Too Phat bukan sahaja dipasarkan di Malaysia malah di luar negara.

Muzik dari kaca mata Islam

Muzik yang seringkali mengiringi nyanyian adalah satu ranting seni. Seni tumbuh berkembang selaras dengan perkembangan daya pemikiran manusia. Manusia adalah makhluk Allah yang dikurniakan fikiran. Menikmati keindahan alam semester dengan sejuta satu unggas bersiul berkicauan, mergastua menyalak, mengaum dan mendayu-dayu. Alangkah indah jamil alam tabii ini! Allah Maha Indah dan suka akan keindahan . mencintai keindahan mendorong perasaan seni manusia untuk mula berfikir bagaimana hendak mengadakan sesuatu yang menggambarkan keindahan pandangan dan pendengaran, lalu terciptalah alat yang boleh memberi kesan bunyi dari tiupan atau paluan ketika berlaga dengan udara sekeliling. Bunyi indah itu boleh dinikmati pada waktu-waktu yang disenanginya.

Dengan wujudnya alat-alat itu, bertambah merdu kedengaran bunyinya ketika mengiringi kata-kata madah memuja keindahan alam ciptaan Allah S.W.T ini. Lahirlah alat-alat muzik yang pelbagai jenis yang diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mendapatkan rasa seronok mendengarnya di samping bertambah nilai lagu-lagunya.

Pada mulanya muzik serta nyanyian dimainkan sebagai sebahagian daripada upacara kudus di tempat ibadat untuk Tuhan yang dipercayai oleh sesuatu bangsa itu. Pemujaan muzik lemah-lembut dan mendayu-dayu menambah kusyuk pemujaan mereka.

Manusia diperhiasi hatinya untuk memandang yang indah, lalu meniginkan wanita, anak, harta kekayaan iaitu emas, perak, kuda-kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah lading yang luas terbentang (surah Al-Imran:14). Semua ini adalah kesenangan hidup di dunia sementara ini. Nafsu haloba meransang segolongan manusia untuk menceroboh hak milik golongan lain dan menyebabkan pelbagai puak bertempuh maka lagu-lagu iarama rancak March tercipta pula memberi semangat untuk mara ke hadapan.

Manusia apabila berasa mewah, akan melampaui batas kemanusiaan (surah Al-a’laq:6). Seringkali nafsu melonjak dalam dirinya lalu untuk memuaskan nafsu untuk memuaskan nafsu ammarah yang tidak pernah puas, muzik diperalatkan lagi dengan tarian-tarian serta nyanyian ghairah.

Akal fikiran adalah anugerah Allah S.W.T yang disuruh menggunakannya untuk memanfaatkan kejadian-kejadian alam semesta untuk manusia (Al- Quran 2:29). Tetapi Allah mengkehendaki supaya manusia terpimpin ke arah cara pemikiran yang betul , maka Dia memutuskan para rasul membimbing manusia ke jalan yang benar.

Semua penganut agama Allah sejak zaman Nabi Adam a.s adalah muslimin (Al-Quran 22:76). Nyatalah Islam itu satu-satunya agama fitri yang amat sesuai dengan keadaan semulajadi yang sedia ada dalam diri manusia. Secara automatik, seni musik, seni suara, seni lagu dan seni sastera dibenarkan tumbuh subur asal saja tidak terpengaruh dengan unsur-unsur yang menjadikan pertumbuhan itu liar menggila mnenjalar keluar dari batas ibadah atau harus yang diakui oleh syarak.

Sinopsis Album 360° Platinum Edition

Menurut Jeremy Chong, Eksekutif Produk Bahagian Domestik & Positive Tone , album ini telah diterbitkan oleh Positive Tone Sdn Berhad dan diedarkan oleh EMI (Malaysia Sdn Bhd). Pada peringkat awalnya , album ini hanya diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris dengan judul album 360°. Ia dilancarkan pada 23 Februari 2003. Pemilihan tajuk album ini juga merujuk kepada hasrat Too Phat untuk memasarkan album ini ke pasaran global. Album ini amat mendapat perhatian terutama terhadap keratan lagu Alhamdulillah dan atas permintaan ramai terutama dari pendengar Melayu dari Malaysia dan Indonesia, pihak Too Phat dan Positive Tone telah mengambil inisiatif mengubah lirik dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Pada 25 Mac 2004 , lahirlah 360° Platinum Edition bagi memenuhi permintaan umum. Album ini melibatkan ramai tenaga yang merentasi jarak sempadan geografi, gender dan pelbagai peringkat umur. Antara yang terlibat ialah Dian Sastrowardoyo, Warren G, Promoe of Loop Troop(Sweden), Vandal of SMC (Canada), Weapon X( Australia) , Freestyle (Brookly, New York), Yasin, VE, Ruffedge, Noreen of Muchachaz, Quotazn, Phlowtron, Liyana & Lil’Marisa , Daly of Ahli Fiqir dan Dato’ Yusni Hamid.

Menurut beliau lagi unsur sajak yang dideklamasikan oleh Dian Sastrowardoyo adalah untuk memenangi pasaran muzik Indonesia. Selain itu pemilihan Dian adalah kerana beliau pada masa itu mempunyai hubungan dengan Malique dan pada masa yang sama adalah untuk menghargai peminat fanatik Too Phat di Indonesia di atas penjualan album 360° berjumlah lebih 80,000 unit.

Disebalik tabir “Alhamdulillah”

Kehebatan dan sambutan hangat yang diberikan terhadap album Too Phat 360° yang telah dipasarkan pada 26 Februari 2003 benar-benar telah menaikkan nama kumpulan hip hop terkemuka.Hal ini mendorong syarikat rakaman tanahair di bawah label Positive Tone/EMI untuk memasarkan semula album tersebut dalam edisi baru. Pakej baru yang istimewa ini berjudul 360° Edisi Platinum telah dipasarkan pada 15 Mac 2003.

Alhamdulillah,lagu duet Too Phat bersama Yasin telah dinyanyikan semula di dalam versi bahasa Melayu.Selain itu,lagu ini juga telah diserikan dengan deklamasi sajak oleh pelakon dan model sensasi remaja dari Indonesia,Dian Sastrowordoyo di awal dan akhir lagu.Tambahan itu,kumpulan duo ini turut mengundang Daly daripada kumpulan Ahli Fiqir dari Singapura bagi menjayakan bahagian rap lagu ini.DJ T Bone juga telah diundang sebagai penggesek disk iaitu salah satu daripada kriteria yang perlu ada dalam hip hop.

Menurut Malique,lagu Alhamdulillah versi platinum adalah pertama kali didendangkan dalam bahasa Melayu oleh Too Phat.Mereka juga telah mengambil inisiatif untuk membawa lagu ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi seiring dengan perjalanan seni mereka.Selain itu,peminat mereka juga sudah lama meminta mereka mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu.Oleh itu,untuk memenuhi permintaan peminat yang sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka,Too Phat telah mengambil keputusan untuk membuat lagu Alhamdulillah dalam versi bahasa Melayu.(Utusan Malaysia:20 Mac 2004)

Sesebuah lagu tidak akan sempurna jika hanya terdiri daripada penyanyi.Tetapi hendaklah mempunyai gabungan terdiri daripada penuli lirik, komposer, pemuzik, jurutera, dan juga studio rakaman.Lagu Alhamdulillah ini adalah gabungan hip hop dan juga muzik dunia.Lagu ini diterbitkan oleh Joe Flizzow,Malique,dan Yasin.Komposernya pula ialah Navin D’Navigator dan Yasin.Lirik lagu ini telah dicipta pertamanya dalam bahasa Inggeris oleh Joe Flizzow,Malique,Yasin manakala Dian Sastrowodoyo dan Daly daripada kumpulan Ahli Fiqir pula mencipta lagu ini dalam bahasa Melayu.Selain itu,Bassline ialah Navin D’Navigator dan Damian Shortysoul.Jurutera,juruunding,dan rakaman telah dijalankan di Hush Studio.Manakala penggesek piring hitam (disc scratcher) ialah DJ T-Bone.

Retorik Lagu “ Alhamdulillah”

Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-3, lirik ialah sejenis puisi yang menggambarkan perasaan yang dienterpretasikan kepada seni kata lagu. Seni kata lagu yang lebih dihayati boleh dijadikan sebagai panduan untuk hidup.

Mesej dalam Alhamdulillah sebenarnya adalah berkisar tentang kehidupan dan pengalaman sebenar yang dilalui oleh ahli kumpulan Too Phat iaitu Joe Flizzow dan Malique. Intipati sebenar dalam Alhamdulillah ialah berkisar tentang kehidupan sosial manusia dan jelas mencerminkan keruntuhan akhlak yang semakin menular di kalangan masyarakat dewasa ini. Istilah Alhamdulillah membawa mesej dalam lagu untuk menyedarkan masyarakat yang kini telah hilang norma-norma murni dalam diri sendiri. Oleh yang demikian, Alhamdulillah merujuk kepada konteks di mana masyarakat harus berfikir sejenak tentang asal-usul mereka supaya mereka tidak terus leka dalam arus kemodenan dunia kini. Alhamdulillah juga menjadi platform utama Too Phat untuk membuktikan tahap kematangan dan peningkatan mereka dalam bidang seni bermula dengan album pertama iaitu “Whutthadilly?” 1999 hinggalah album yang terbaru ini iaitu 360° Platinum Edition.

Lagu Alhamdulillah mengandungi enam bait utama yang mengemukakan enam persoalan tentang akhlak manusia.

i. Kehidupan manusia yang semakin alpa dewasa ini
( Petikan Sajak oleh Dian Sastrowardoyo)
ii. Mengajak manusia mendekati dan bersyukur kepada Tuhan
( Bait Arab oleh Yassin )
iii. Manusia semakin materialistik dan nafsu mereka mengatasi segalanya. (Malique)
iv. Doa manusia kepada Allah supaya lebih kental dalam mengharungi kehidupan ( Joe Flizzow)
v. Keinsafan diri wujud dari kesedaran terhadap kebesaran Allah
(Daly of Ahli Fiqir)
vi. Mensyukuri segala kurniaan Allah S.W.T
( Petikan Sajak oleh Dian Sastrowardoyo)

Sebelum nyanyian bermula, Alhamdulillah didahului dengan deklamasi sajak yang sungguh harmonis dan menyentuh hati oleh Dian Sastrowardoyo.Sajak diselitkan pada awal dan akhir lagu ini bukanlah semata-mata untuk strategi pemasaran sahaja tetapi ia juga adalah atas permintaan peminat-peminat di Malaysia dan Indonesia ekoran daripada kepopularitian Dian Sastrowardoyo semasa filem “Ada Apa Dengan Cinta” ditayangkan di pawagam di kedua-dua negara. Namun begitu, setelah dipersetujui Dian ingin mendeklamasikan sajak sahaja kerana beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak tahu menyanyi hip hop dan rap.

Mengapakah unsur world music dendangan Yassin yang turut diselitkan? Yassin turut memberi sumbangan dalam Alhamdulillah kerana memandangkan world music semakin diterima di Asia terutamanya di Malaysia. Ketika diminta memberi sumbangan dalam lirik ini, Yassin cuma mengambil masa separuh hari sahaja untuk menyiapkannya sebelum proses rakaman penuh dijalankan dalam masa satu hari pada hari yang sama di King Studio.

Selain dari Too Phat, Yassin dan Dian Sastrowardoyo yang turut menyumbangkan suara dalam lagu Alhamdulillah ialah Daly Ahli Fiqir. Ahli Fiqir merupakan sebuah kumpulan yang dijangkakan akan hits di Singapura. Daly diajak untuk menjayakan bahagian rap berdasarkan bakat yang dimilikinya. Selain itu, tujuan penglibatan penyanyi-penyanyi dari pelbagai negara dan genre ini adalah untuk memaparkan keadaan globalisasi yang wujud dalam bidang seni juga.

q Kehidupan manusia yang semakin alpa dewasa ini

Dian (Sajak) : Kemungkinan penafsiran dalam bait ini merujuk kepada keadaan manusia pada ketika itu yang telah ketelanjuran dalam melakukan sesuatu kemungkaran namun terselit sedikit kekesalan dan kesedarannya pada Allah S.W.T. Pandangan-pandangan dunia tidak lagi membawa apa-apa maksud ke atas dirinya dan hanya kepada yang Maha Esa dia berserah diri.

…dimensi membutakan mata, memekakkan telinga
lalu diri menjadi hampa saat paradigma dunia tak lagi digunakan untuk menerka sedarku akan hadirMu mematahkan sendi-sendi yang biasanya tegak berdiri…

q Mengajak manusia mendekati dan bersyukur kepada Tuhan

Penggunaan bahasa Arab oleh Yassin dilihat sebagai penambah nilai makna kepada lagu tersebut dan selain daripada itu juga penggunaan bahasa Arab sebagai simbol Islamik dalam lagu tersebut. Manusia itu perlu membuka dirinya (hati) kepada Allah dengan penuh kejujuran dan ketaqwaan. Manusia itu dilarang untuk benci membenci antara satu sama lain malah manusia itu dituntut supaya sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Ult li albi bissaraha ( I’m opening my heart with honesty )
Hayya nab’idil karaha ( let’s avoid the hated and hatred )
Syakkireena a’kulli ni’ma ( let’s remain thankful with what we have )
Ba’ ideena anil fattana ( let’s avoid all lies and sins )

q Manusia semakin materialistik dan nafsu mereka mengatasi segalanya.

Malique : Merujuk kepada baitnya, perkara yang ingin diutarakan ialah kekaguman tentang kebesaran yang Maha Esa. Namun begitu, jika dinilai dari sudut yang berbeza kehidupan selesa yang dikecapi masih tidak dapat memenuhi tuntutan nafsu. Kemewahan sebenar yang diinginkan melangkaui batas kehidupan manusia. Hal ini kerana sifat semulajadi manusia yang gemar mengejar kemewahan duniawi dan terlalu mengikut hawa nafsu. Dewasa ini, meminum minuman keras adalah seperti sesuatu yang normal dalam budaya masyarakat. Selain itu, bait ini juga merujuk kepada masalah sosial remaja yang semakin menular di juga kalangan masyarakat. Pasangan kekasih muda kini bukan hanya sekadar berpegangan tangan tetapi juga terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral.?????fakta

…Berpesta ke pagi botol bergelimpangan
Kekasih muda bukan takat berpegang tangan
Harta dan jamuan nafsu tidak berkekalan
Bila menjelang tua bukan itu jadi bekalan…


Manusia merupakan khalifah Allah di muka bumi ini, oleh itu segala keistimewaan yang dikurniaan oleh Allah kepada manusia hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan tidak menyalahguna kelebihan yang dikurniakan. Walaupun kita kelihatan sempurna dan memiliki segala-galanya namun pada hakikatnya kita merupakan hamba kepadaNya.

…Bakat dikurnia jangan disalah guna
Jangan kufur nikmat yang diberi percuma
Guna kelebihan untuk hikmah bersama….
…ucaplah alhamdulillah bukannya sukar,
kerna semua nak kaya atau besar
tetap Allahuakbar !!!…

q Doa manusia kepada Allah supaya lebih kental dalam mengharungi kehidupan

Joe Flizzow : Beliau meletakkan harapan kepada Allah S.W.T supaya diberikan petunjuk ke jalan yang benar kerana selama ini beliau berada dalam kejahilan hasil dari kehidupan yang bebas. Harapan tentang kekuatan dirinya juga dipohon dari Allah kerana selama ini banyak dugaan hampir kepadanya seperti keinginan kuasa dan perempuan. Walaubagaimanapun dugaan yang menghampiri itu tidak membuatkan dirinya lupa kepada kuasa Allah secara total.
…Harapku tidak terlupa diri bila gembira, dan …
cuma mula mencariKau disaat hiba,
Ku cuma manusia penuh dengan kesilapan tapi
bisa membezakan cahaya dan kegelapan,
tabah bila di halangan duri onak dan cubaan.
Teguh bila di cubakan keruh kuasa dan perempuan…

q Keinsafan diri wujud dari kesedaran terhadap kebesaran Allah

Daly of Ahli Fiqir: Kandungan bait ini lebih banyak memperkatakan tentang kebesaran zat Allah yang selama ini dicari olehnya. KeEsaan Allah S.W.T jelas terpancar dalam bait ini dan beliau menyedari akan diri begitu kerdil di sisi Allah. Pengulangan terhadap pengharapan agar Allah memberikan kekuatan (cahaya) kepada dirinya dalam menghadapi cabaran di dunia yang penuh pancaroba ini. Rangkap ini di akhiri dengan pengakuan syukur kepada Allah melalui nombor 7,8,6 (Fakta…Sumber:???? )

…Aku yang memandang di dalam lubuk hati,
mencari-cari zat rahsia yang katanya tersembunyi…
…Aku yang hodoh lagi hina amat benar merindui,
moga cahaya lailatul tak membutakan mataku,
semoga segala puji tak ku meninggi diri…
…Ku pasrah ku akur 7,8,6 Alhamdulillah Syukur…


q Mensyukuri segala kurniaan Allah S.W.T

Dian (Sajak) : Perhambaan selama ini hanyalah kepada kebendaan semata-mata dan tidak memberi kepuasan dalam erti kata yang sebenar kepada dirinya. Oleh itu, mengabdikan diri kepada Allah adalah cahaya kesyukuran sejati yang dicari-cari selama ini. Dia memohon keberkatan kepada Allah agar dirinya, hartanya dan keluarganya diredhai dalam konteks kesyukuran yang sebenar.

…Sujudku pun takkan memuaskan inginku
‘ Tuk hanturkan sembah sedalam kalbu
adapun kusembahkan syukur padaMu ya Allah
untuk nama, harta dan keluarga yang mencinta…

Adunan unsur-unsur moden,sajak,universal: Akhlak, syukur nikmat Allah

Lagu Alhamdulillah menampilkan kelainan dan keunikannya yang tersendiri apabila menggabungkan tiga unsur dalam sebuah lagu iaitu moden , sajak dan universal.Sajak ialah puisi moden yang digubah dalam bahasa yang indah untuk mrnyatakan fikiran,perasan,pengalaman,dan sebagainya.Bentuk sajak adalah bebas,tidak tertakluk kepada jumlah perkataan atau suku kata,panjang atau pendek sesuatu format tertentu yang ingin disampaikan ialah mesej,disusunkan dalam bentuk yang seni yang erat dengan peribadi dan pengalaman penyajak.Keindahan sajak terletak pada buah fikiran dan perkataan serta ungkapan tertentu yang digunakan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan tertentu (Kursus Komprehensif Fajar Bakti Bahasa Melayu STPM [kertas 1 & 2 ] Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin. Intro dan outro lagu Alhamdulillah adalah berbeza daripada lagu hip hop yang lain. Hal ini kerana, intro dan outronya adalah deklamasi sajak oleh Dian Sastowardoyo dalam bahasa Indonesia.


Intro:
Di saat waktu berhenti, kosong
Dimensi membutakan mata, memekakkan telinga
Lalu diri menjadi hampa
Saat paradigma dunia tidak lagi digunakan
Untuk menerka
Sadarku akan hadirmu, mematahkan sendi-sendi
Yang biasanya tegak berdiri


Outro:
Sujudku pun tak akan memuaskan inginku
Untuk hanturkan sembah ke dalam kalbu
Adapun kusembahkan syukur padaMu ya Allah
Untuk nama , harta , dan keluarga yang tercinta
Dan perjalanan yang sejauh ini tertempa
Alhamdulillah, pilihan dan kesempatan
Yang membuat hamba mengerti lebih baik
Makna diri
Semuanya lebih berarti bila dihayati
Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah…

Sajak ini telah dicipta sendiri oleh Dian. Hal ini menunjukkan bahawa puisi juga boleh digabungkan di dalam muzik moden kontemporari seperti hip hop.Gabungan ini yang diadun di dalam Alhamdulillah secara harmoni, seimbang dan berkesinambungan dapat melahirkan ketenangan dan keceriaan walaupun muziknya rancak.

Lagu ini juga terdapat bait dalam bahasa Arab yang didendangkan oleh penyanyi dan pencipta lagu terkenal yang lebih menjurus kepada world music, Yassin. Pemilihan bahasa Arab adalah signifikasi kepada bahasa utama Al-Quran.Bait ini merupakan korus kepada lagu ini.

Bait Arab:
Ulti li albi bissaraha
Hayya nab’idil karaha
Syakireena a’kuli ni’ma
Ba’ideena anil fattana

Maksud bait ini dalam bahasa standard ialah :

Saya membuka hati dengan kejujuran
Mari mencegah perasaan benci membenci
Marilah kita sentiasa mensyukuri dengan apa yang kita ada
Mari kita menjauhi segala penipuan dan dosa

Bahagian korus ini boleh dianggap sebagai klimaks kepada lagu Alhamdulillah. Hal ini kerana, bait ini telah diulang sebanyak 4 kali setiap penghabisan rangkap lagu . Idea utama dalam bait Arab ini ialah kepentingan akhlak dan syukur nikmat Allah. Kedua-dua konsep ini boleh diterimapakai untuk melahirkan manusia yang bukan sahaja berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Lirik ini menyentuh mengenai akhlak amnya kepada penyanyi sendiri dan khususnya kepada para pendengar.Hal ini kerana, akhlak yang terpuji dapat menghindarkan manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar seperti meminum arak dan melakukan maksiat.Menurut buku Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia “A” suntingan Hasnan Kasan, Nasruddin Yunos, dan Nazri Muslim,akhlak yang baik dapat diikuti daripada akhlak Rasulullah S.A.W iaitu benar,amanah,menyampaikan dan bijaksana.

Selain itu,manusia juga wajib mensyukuri dengan nikmat atau kesusahan yang dikurniakan. Hal ini kerana, manusia merupakan hamba kepada Allah. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab manusia untuk menerima qada’ dan qadar yang ditentukanNya dan sentiasa patuh kepada tuntutanNya.Manusia juga hendaklah sentiasa merendah diri.

Keseluruhannya, lirik lagu Alhamdulillah berkisar kepada kehidupan sosial, keruntuhan akhlak yang semakin menular dan unutk menyedarkan masyarakat yang semakin meminggirkan norma-norma murni dalam diri sendiri. Dalam menangani masalah ini kedua-dua konsep ini penting iaitu akhlak dan mensyukuri nikmat Allah S.W.T.

Kesimpulan

Masyarakat sememangnya mengharapkan adanya landasan dan petunjuk ke arah kehidupan yang lebih bermakna melalui lagu-lagu yang menyampaikan mesej islamik. Dalam konsep yang cuba dibawakan oleh Too Phat, ianya mungkin sebagai satu anjakan paradigma baru yang boleh membawa unsur islamik dalam genre hip hop.Hal ini kerana lagu ini terkandung nilai kemanusiaan, nilai keinsafan dan nilai keagamaan .Too phat juga mungkin melihat sumber penyampaian melalui genre hip hop dapat menarik minat golongan remaja agar dapat mengelak dan menghindarkan diri daripada gejala maksiat dan kelalaian dalam kehidupan seharian yang dilalui.

Dalam beberapa bait lirik lagu ini juga, menyentuh secara berulang kali perkataan “Alhamdulillah” yang sememangnya merujuk kepada perlinya manusia mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Amatlah rugi sekiranya kita memandang rendah dan mengetepikan persoalan mesej yang terkandung dalam sesebuah lagu yang dicipta bukan sahaja untuk menghibur, tetapi juga untuk menyampaikan mesej. Lagu ini juga adalah sumber pendidikan dan pengajaran kepada masyarakat yang tahu untuk menilainya.

Kajian ini membuktikan lagu-lagu yang berentak seperti hip hop juga tidak terbatas sebagai sumber hiburan semata-mata, malah turut terselit pengajaran untuk dihayati oleh pendengarnya. Kesimpulannya, lagu “Alhamdulillah” yang disampaikan membawa satu era baru dalam dunia seni tanah air kerana buat julung kalinya, genre muzik hip hop ini menyelitkan unsure islamik yang penuh dengan pengajaran yang dapat dihayati dan diteladani. Apa yang membanggakan, lagu ini dapat diterima ramai terutamanya golongan remaja sehingga munculnya lagu “Alhamdulillah” dalam 2 versi iaitu di dalam versi bahasa Inggeris dan versi bahasa Melayu.

salam sejahtera dari hamba

tunmegat

Wednesday, April 1, 2009

2 Bintang Bersinar-Siapa pula selepas ini?

Jelas kegembiraan terpancar pada wajah seluruh peminat sukan apabila 2 anak muda Malaysia melakar nama di arena lumba basikal antarabangsa.

Azizulhasni Awang dan Mohd Rizal Tisin, 2 nama kebanggaan negara mula di sebut-sebut oleh semua warga yang terkejut dengan pencapaian cemerlang mereka. Kemenangan pingat Perak dan Gangsa di Kejohanan Basikal Trek Dunia, mencelikkan banyak mata rakyat kerana mereka ini telah membuktikan "Size is not a matter anymore". Tubuh mereka amat kerdil jika di bandingkan dengan lawan mereka, namun semangat kental dan berbekalkan tunjuk ajar yang bersistematik mereka mampu meredah halangan-halangan yang kita sendiri fikir mustahil.

Inilah hasilnya jika kita mampu merealisasikan corak pemikiran dan tindakan dengan jelas. Keputusan yang konstruktif akan menghasilkan satu hasil yang akan mengujakan. Azizulhasni dan Mohd Rizal hanyalah pencetus kepada keinginan yang lebih besar. Saya melihat jika kita sebenarnya mampu menguruskan sesuatu itu secara konstruktif, pelbagai kejayaan akan kita tuai. Malah saya berpendapat corak pengurusan sukan terutama bolasepak negara harus menurut jejak langkah pihak yang menguruskan pelumba basikal ini. Kita sudah lama ketandusan ikon bolasepak. Jangan jadikan alasan kerana tubuh kita kerdil kita tidak mampu bersaing.

Faktor lain yang saya lihat terhadap kejayaan 2 pemuda ini ialah kejujuran dan keikhlasan. 2 faktor inilah yang pernah dimiliki oleh pasukan bolasepak negara suatu ketika dahulu. Tiada apa yang dapat menghalang jika seseorang itu berjuang dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dan jika kita berpegang dengan 2 faktor ini ianya akan terpancar serinya di wajah kita. Bukan sahaja dalam perjuangan di arena sukan, malah di dalam apa juga perjuangan jujur dan ikhlas perlu di jadikan pegangan.

Tahniah Azizulhasni
Tahniah Mohd Rizal

Majulah Sukan untuk Malaysia (* jujur & ikhlaslah dalam perjuangan)

sembah salam untuk semua.

tunmegat

NAJIB - PM KE 6

Teka-teki hampir berakhir

Jika diizinkan Allah swt, maka akan diwariskan kepimpinan negara daripada Pak Lah kepada Najib Razak pada Jumaat ini 3 April 2009 bersamaan 7 RabiulAkhir 1430H.

Satu sejarah akan bermula di Tanah Air tercinta ,yang mana buat pertama kalinya seorang anak Perdana Menteri akan di angkat untuk meneruskan legasi almarhum ayahandanya.

Bagi saya selaku anak Pahang amat berbangga dengan perlantikan ini namun apa yang merisaukan sedikit ialah zaman berubah. Tidak sama seperti zaman ayahandanya dahulu. Ketika itu Malaysia dalam keadaan malap. Nasib Melayu terumbang ambing,namun ia di gagahi Tun Razak dengan mencipta pelbagai resepi untuk membela bangsanya dan rakyatnya. Dasar Ekonomi Baru di cipta untuk kesejahteraan rakyat jelata. Ramai yang berjaya kerana dasar ini, dan tidak kurang pula yang kaya kerananya. Golongan Elit Melayu berkembang, golongan kelas menengah Melayu bertambah. Penguasaan tanah untuk orang Melayu di lipat gandakan dengan wujudnya FELDA. Malah ketika itu Program Buku Hijau dilancarkan kerana beliau memikirkan pentingnya sumber makanan untuk rakyat. Namun manis kejayaan yang sempat beliau kecapi hanya sekejap kerana beliau terlebih dahulu di panggil Ilahi.

Walaupun zaman berubah, saya melihat ada satu persamaan tetapi dalam konteks yang berbeza halamannya ketika peralihan kuasa ini berlaku iaitu kedua-dua anak beranak ini mengambil alih ketika zaman muram dan kalut. Ketika Ayahandanya mengambil alih tampuk kepimpinan, negara berada kemuraman dan kekalutan ekonomi tetapi ketika Najib mengambil alih negara berada dalam kemuraman dan kekalutan politik negara . Namun saya percaya Najib akan mencipta beberapa formula kejayaan untuk memacu negara ke arah yang lebih cemerlang. Kalau sudah datang dari rumpun yang baik, maka baik jugalah hasilnya.

Saya sebagai manusia biasa yang melihat perkembangan ini amat teruja menantikan apakah yang bakal di bawa oleh pemimpin yang baru. Tentunya bukan saya seorang sahaja yang ternanti-nanti malah seluruh rakyat Malaysia tidak kira yang pro kerajaan atau tidak , akan sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pergerakan YAB Datuk Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak selaku pemimpin No.1 pada masa pemerintahan beliau. Saya percaya ramai yang akan membuat perbandingan antara beliau dan ayahandanya. Namun begitu saya rasa jika perbandingan dilakukan pada awal Najib menerajui jentera pentadbiran negara ianya tidak adil kerana seseorang pemimpin itu harus di beri ruang dan peluang untuk beliau memikirkan apa yang terbaik untuk rakyatnya.

Kepada Datuk Seri Mohd Najib, teruskan perjuangan dan teruslah mencipta kecemerlangan dan kepada warga Malaysia pula saya berharap agar berhemahlah dalam setiap tindakan kerana itu mencermainkan peradaban bangsa. Sesungguhnya tiada yang lebih baik dari hidup aman dan damai dalam kemakmuran.

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Jika belayar ke tanah Aceh
Singgah dulu di kota Deli
Jika hendak orang mengasih
Hendaklah baik bicara budi


sembah salam dari hamba
tunmegat

Tuesday, March 31, 2009

BACA DAN FAHAMI MAKSUDNYA

Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah puisi di Berita Harian ( 28 Mac 2009). Ia amat menarik perhatian saya kerana ketajaman kata-kata dan olahan bait-baitnya yang menyentuh qalbu saya. Di sini ingin saya berkongsi dengan rakan-rakan sekelian puisi nukilan Baha Wahab , Kulai Johor.

TANAH BERDAULAT, PANTANG DERHAKA

LEMBARAN SULUNG CATATAN TANAH INI
TERPALIT TINTA MURKA
SETELAH SEKIAN LAMA TERPANDAM
DI DASAR TEPU HANYIR TELUK DAN SUNGAINYA

TANAH PAHLAWAN INI
TELAH LAMA BERDAULAT
DENGAN PERUT BUMI YANG BERKILAU PERAK
MENJADI SINAR MENYULUH HIDUP
MENYUBUR MUAFAKAT ANAK CUCU
BERPAYUNG DI BAWAH SUCI MAHKOTA
TIDAK PERNAH BERBADAI TAAT SETIANYA

MELUAP DARAH DAMAI
MENIMBANG SABAR TANAH INI
WAKTU KAU MENGALUN SUMBANG
SEMBAH DERHAKA

APA LAGI MAHU MU
KAU MENUDING TERSALAH ARAH
TANGAN DI JERUT BERSILANG PUNCA
BILA KAU LELAH TIDAK BERDAYA
HALKUM MEMBENGKAK BERNANAH
BILA KAU DIAM TIDAK BERSUARA
YANG MENGGAPAI HANYA TANGAN LONGLAI
DALAM SELUT PEKAT BERNODA

YANG SAYUP HANYA LOLONG KALUT
DI SEBALIK TABIR PUSAKA TUA
NAMUN KALU MASIH GAGAH JUGA
BERPAUT KEJAP PADA SELUSUR REPUT
MENANTI PERAHU KERTAS PENDERHAKA
TANPA PENDAYUNG SETIA
PASTI PERAHU TERSASAR HALA

SELURUH ISI BUMI BERTUAH INI
TELUK , TANAH DAN SUNGAINYA
MENJUNJUNG DAULAT, PANTANG DERHAKA
SEKALI TERLANJUR SELAMANYA MURKA
TERMAKAN SUMPAH , SEPANJANG HAYAT TULAHNYA.

Besar pengertian puisi ini.Orang Melayu patut sedar dan faham makna isinya. Bagi saya , tonggak Melayu (institusi kesultanan Melayu) tidak patut kita perkotak katik kan dan jika kita bangsa Melayu sendiri tidak tahu menghormati Sultan dan Raja Melayu, maka jangan diharap bangsa lain berbuat demikian. Saya pernah ke Siam dan Jepun. Kebetulan kedua-dua negara yang di lawati itu mempunyai Raja. Namun apa yang saya dapat lihat dan kagumi, mereka meletakkan Raja mereka di tempat yang amat tinggi hinggakan tiada apa dapat disamakan dengan kedudukan Raja mereka. Itulah kedudukan perlambangan yang sepatutnya. Malangnya kita, di bumi yang bertuah ini, sejak akhir-akhir ini sudah mula biadap. Segan silu, rasa hormat sudah tidak lagi bertempat di hati dan lebih malang lagi perasaan itu berlaku pada bangsaku MELAYU.

maaf dipinta jika ada tersalah bahasa dan terkasar kata
hanya susunan ayat ku luahkan untuk melapangkan dada
yang penuh serabut pabila ku memikirkan soal bangsaKU

sembah salam dariku
tunmegat

Salam Sejahtera Untuk Semua

Kelam kabut, ribut, sesak, dan macam-macam rasa dalam diri.

Cuaca cerah di sini pada hari ini..namun di Bukit Selambau , Bukit Gantang dan Batang Ai belum tentu cerah. Namun yang pasti di lokasi tersebut Panas. Mungkin kepanasan tersebut menyebabkan ramai yang keliru untuk membuat perhitungan pada 7 April 2009 nanti. 15 orang calon di Bukit Selambau, 3 calon di Bukit Gantang dan 2 calon di Batang Ai , sudah cukup untuk mencorakkan politik tanah air.

Apapun yang akan terjadi selepas 7 April nanti, sama-samalah kita tunggu dan lihat. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan bijak, sesuai dengan usia negara yang telah merdeka hampir 52 tahun, saya cuma mengharapkan agar yang terbaik untuk negara tercinta. Sesungguhnya, manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan, namun dari kesilapan tersebutlah mematangkan manusia itu.

Bunga Melati si Bunga Darat
Bunga Seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Anak Merak di kampung Cina
Lari makan di kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi yang baik di bawa mati

salam hormat.
tunmegat