Thursday, June 25, 2009

Orang lain Mahal, Orang Kita Gaji Pun Tak Lepas.

Hakikatnya, Cristiano Ronaldo adalah pemain bola sepak termahal dunia. Beliau kekal pemain termahal dunia, pada nilai rekod dunia 93 juta euro (RM464 juta) dibayar Real Madrid kepada Manchester United untuk mendapatkan khidmatnya, musim ini.

Liga-liga mereka kita tonton bagai nak rak walaupun kita bersekang mata. Semua nama pemain dan pengurus kita hafal. Isu dan gelagat di luar padang pun kita ambil perhatian. Namun di gelanggang sendiri kita lesu dan sepi. Bukan cerita bayaran perpindahan yang tertinggi pemain bolasepak di war-warkan tapi cerita pemain tak mendapat bayaran lebih kedengaran.

Malam tadi hamba menonton kisah bekas pemain pasukan Melaka tidak di bayar tunggakan gaji sejak 2 tahun lepas. Bukannya hingga jutaan ringgit, cuma RM 10,000 sahaja. Di tahun 2009 ini masih kedengaran rintihan pemain bolasepak sedemikian. Malu kita di buatnya. Kalau persatuan berhutang dengan pemain, janganlah diharap mutu permainan akan setanding dengan liga-liga luar.

Pemimpin persatuan yang mengendalikan persatuan ini tidak pernah ke memikirkan kehidupan pemain-pemain ini. Mereka juga ada kehidupan, hutang-hutang yang perlu dilangsaikan, mulut anak bini untuk disuapkan makanan. Kepada persatuan bolasepak, jangalah menyimpan angan-angan yang terlalu tinggi sehingga lupa pada asas utama iaitu semua kita adalah manusia biasa, yang pasti sebelum menawarkan pekerjaan kepada pemain-pemain tu, lihat-lihatlah kemampuan persatuan sendiri dahulu.

Kalau kantong berisi teruskan, kalau kantong kosong lupakan je lah angan-angan yang melangit tinggi itu.

salam dari hamba

tunmegat

Wednesday, June 17, 2009

Ribut 7.00ptg 16 Jun 2009

Salam .

Pagi tadi saya bersama-sama rakan sekerja dan beberapa rakan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Penghulu Mukim Penor meninjau rumah-rumah yang di timpa musibah akibat ribut pada semalam(16.6.2009). Ada yang hilang atap, ada yang dihempap pokok Pinang, ada di hempap pohon Rambutan. Paling menyedihkan bila mengenangkan kehidupan mangsa tersebut sememangnya sudah lama susah. Ada yang berkerja sendiri, ada yang yatim piatu dan ada juga ibu tunggal. Apabila di amati, baru saya mengerti peribahasa " sudah jatuh , di timpa tangga".

Walaubagaimana pun saya ingin merakamkan tahniah kepada Tok Penghulu Mukim Penor kerana bertungkus lumus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Kepada ketua-ketua kampung yang memberikan kerjasama juga diucapkan tahniah walaupun saya dikhabarkan perkhidmatan mereka selaku Ketua Kampung masih belum di sambung perkhidmatan. Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka belum sah dalam jawatan mereka , namun atas rasa tanggungjawab dan perihatin mereka tetap memberikan perhatian kepada masyarakat kampung.

Semangat yang sebegini yang amat diperlukan untuk membentuk satu gagasan 1 Malaysia yang lebih gemilang. Namun , bagi saya ada ruang yang boleh diperbaiki dalam mempercepatkan urusan bantuan disalurkan. Semoga segala usaha murni membantu rakyat diberkati Allah hendaknya.

salam dari hamba

tun megat

Tuesday, June 16, 2009

Perak Man

Agak lama hamba tidak menulis. Namun kali ini apabila terlihat perkhabaran di Berita Harian 16 Jun 2009: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen serta enam lagi anggota pembangkang, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula semalam kerana enggan mematuhi peraturan mesyuarat., hamba rasa sedih melihat perlakuan mereka yang bergelar Yang Berhormat ini.

* nak kata tak tahu, dia tahu. nak kata tak pandai , dia pandai tapi Perak Man ni memandai-mandai la pulak. Apabila berlebih sangat politik ni, bosan la pulak hamba selaku golongan marhain ni melihatnya. Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan adakah perkara seperti ini patut berlaku dalam sebuah parlimen di negara yang aman dan harmoni ini.

salam dari hamba

tunmegat

Friday, May 15, 2009

Bila nak abis cerita kat Perak ni?

Kata namanya Pakatan Rakyat tapi nak berpakat dengan bukan geng dia pun tak boleh. Orang lain pun rakyat jugak. Yang BN ni pun satu , cari2 la ruang untuk hentikan perbalahan ni. Orang luar bertepuk tangan tengok kita bertelagah sesama sendiri.

Dalam hal yang semakin rumit ni, ramai sangat yang nak tunjuk handal. Speaker dengan hal speaker, mahkamah dengan keputusannya, YB pulak dengan agenda YB, Penyokong pulak dengan ragamnya. Last2 Rakyat gak yang terbungkang, terlopong sambil termanggu-manggu menunggu apa bala pulak yang akan berlaku lepas ini.

Penatla tengok keadaan saudara-saudara rakyat Malaysia di Perak ni. Kesian ada, Simpati ada dan kadang-kadang naik menyampah pun ada. Agaknya inilah perlunya kebijaksanaan kita sebagai manusia yang menganggap kita bertamaddun. Semoga BN dan Pakatan menemui ikatan yang menguntungkan semua pihak.

Cukup-cukup la berpolitik.
Penat la nak baca dan dengar berita mengenai hal Perak.
Bosan tahap kritikal dah ni.

Semua ada buat salah, BN buat salah, PR pun buat salah. So tak ada siapa yang tak pernah buat salah. Kadang-kadang alangkah baiknya jika ada kereta macam movie "back to the future." tapi pe nak wat,reality is reality so nak tak nak hadap je lah. Apa-apa pun memang AKU DAH BOSAN.......


salam sejahtera

tunmegat

Wednesday, May 6, 2009

Lagu Bunga Tanjung

Bunga Tanjung-Sharifah Aini

Ragut. Bilakah akan berakhir?

Sekalung takziah buat Allahyarhamah Jamilah Selamat yang tewas ditangan peragut. 36 jam bertarung dalam keadaan koma, akhirnya di jemput Allah juga. Semoga di tempatkan rohnya tempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Pelbagai persoalan timbul apabila persoalan ragut ini diperbincangkan. Apakah puncanya? Apakah pembelaan nasib mangsanya? Apakah nasib keluarga mangsa? Dimanakah peranan pihak berkuasa? Apakah peranan orang ramai? Dimanakah rasa simpati atau sifat kemanusiaan si peragut? Dan bilakah ragut ini akan berakhir?

Kesedihan dan ratapan orang yang ditinggalkan langsung tidak akan menimbulkan rasa insaf dikalangan penjenayah ragut ini. Sememangnya peragut itu adalah Iblis yang bertopengkan manusia malah kadang-kadang saya rasakan ia lebih teruk dari Iblis.

Kesedaran terhadap bahaya ancaman ragut ini perlu dititikberatkan. Pengetahuan atau didikan perlu diterapkan kepada masyarakat. Peranan pelbagai jabatan terutama seperti Polis, Penerangan dan JKKK perlu dalam menterjemah kesedaran ini kepada umum. Dari sudut hukuman pula, saya mencadangkan agar hukuman yang amat berat patut dikenakan kepada penjenayah ragut ini jika mereka di dapati bersalah. Jangan salahkan orang awam memukul peragut yang ditangkap kerana perbuatan mereka itu memang berbaloi untuk orang awam bertindak sedemikian.

Kepada keluarga Allahyarhamah, saya ucapkan takziah dan Al-Fatihah. Kepada penjenayah yang melakukan ragut tersebut, tunggulah azab yang bakal mendatang. Allah itu maha adil dan maha penyayang.

salam dari hamba

tunmegat

Monday, May 4, 2009

Selsema Babi atau A H1N1?

Hanya berubah pada nama namun kesanya sama. Kalau kena tetap membahayakan kesihatan.
Kecoh dunia bila selsema ini menyerang. Semua negara ambil langkah berjaga-jaga dan tidak ketinggalan Malaysia. Difahamkan Kementerian Kesihatan telah berusaha membeli beberapa mesin scan pengesan wabak untuk di tempatkan di pintu-pintu masuk utama negara. Semua itu dilakukan untuk melindungi rakyat daripada di jangkiti virus pembunuh ini.

Semua orang risau tentang wabak ini. Dari menteri hinggalah kepada rakyat biasa. Dari yang mengetahui hinggalah kepada yang tahu sikit-sikit tentangnya. Paling gelisah ialah mereka yang tinggal berhampiran dengan ladang ternakan Babi.

Dalam hal ini, saya melihat faktor kesedaran tentang kebersihan dan pengetahuan penting kepada masyarakat. Kepekaan masyarakat terhadap ada yang berlaku di sekitar ruang lingkup kehidupan mereka amat-amat dituntut kerana jika mereka peka, mereka dengan sendirinya akan melindungi diri dan keluarga mereka dari wabak bencana ini.

Disamping kesedaran kepekaan tersebut satu perkara yang saya rasakan penting ialah rakyat perlu bertenang. Panik adalah satu senario yang utama saya fikirkan. Jika rakyat mula panik dengan wabak ini masalah lain pula akan timbul. Seperti kejadian lemas, kebanyakkan mangsa lemas bukan mati kerana kejadian lemas tu tetapi kerana panik semasa kejadian. Di sini saya melihat peranan media sebagai penyalur maklumat kepada rakyat adalah penting. Sesuatu berita itu boleh dipaparkan namun jika dia diperbesar-besarkan ia akan membawa impak negatif kepada masyarakat.

Semoga Allah Peliharakan Rakyat Malaysia Keseluruhannya

salam dari hamba

tunmegat

Monday, April 13, 2009

Thailand dan Demokrasi

Sidang kemuncak ASEAN ke 14 berakhir sebelum kemuncaknya. Kemuncak lain yang di rancang tetapi kemuncak lain yang tiba. Gerakan Baju Merah telah menyebabkan Perdana Menteri Thailand , Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di Bangkok.

Saya melihat isu yang berlaku di negara Gajah Putih ini adalah satu daripada rentetan gerakan kuasa jalanan rakyat yang mengatakan mereka lebih faham tentang demokrasi. Kejadian ini bukan senuatu yang baru di rantau Asean. Indonesia telah mengalaminya suatu ketika dahulu. Kepiminan Presiden Suharto tumbang kerana gerakan jalanan ini. Mahu di katakan ini sebagai trend mungkin ada kebenaranya namun apa yang merisaukan saya ialah sejauhmanakah kefahaman masyarakat terhadap intipati demokrasi itu. Adakah hanya jalanan yang berhak membuktikan demokrasi itu hidup di rantau Asean ini?

Keterbukaan dasar politik yang rasai oleh rakyat Thai akhirnya dirosakkan oleh sendiri oleh rakyatnya. Di era ekonomi dunia yang semakin menghimpit , Thailand seakan-akan kian tenggelam akibat kerakusan , kegilaan untuk membolehkan seorang individu berkuasa. Pada hemat saya, jelas Thailand di landa simptom " niat yang menghalal kan cara" . Darurat yang di umumkan oleh Abhisit tidak mempunyai jalan keluar yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin magis Raja Bhumipol perlu untuk mententeramkan kegilaan rakyatnya.

Mungkin juga ada rahmat dan hikmahnya hal ini berlaku. Malaysia dapat belajar dari negara jiran tetangga. Sebelum penyakit menjadi pekung hingga ke kanser ia harus di rawat dahulu secepet mungkin. Walaupun iklim politik di tanah air dewasa ini juga suam-suam namun kesyukuran harus kita panjatkan kepada Ilahi kerana dalam suam-suam itu kita masih mampu duduk berlainan meja di restoran mamak sambil menjamah roti canai dan teh tarik dengan selesa.


salam dari hamba

tun megat

Friday, April 10, 2009

Barisan Kabinet Najib (versi 2009)

Ada nama baru dan lama di senaraikan.

Semestinya ada yang gembira kerana tersenarai dan ada yang berduka kerana digugurkan. Kepada yang terpilih, genggamlah hasrat dan iltizam untuk bekerja dengan jujur dan ikhlas. Kepada yang digugurkan terimalah hakikat kerana semua yang terjadi adalah ketentuan Ilahi. Memetik kata-kata dari sebuah rancangan kanak-kanak di tv (Wonder Pet) " Apa yang penting...kerjasama" adalah amat bertepatan di kala Perdana Menteri ke 6 (DSNR) memerlukan sokongan dari semua pihak.

Yang digugur tidak perlu berduka cita kerana dunia kiamat. Jawatan itu bukanlah sesuatu yang kekal untuk disimpan secara peribadi. Jika kita pasrahkan nasib kita pada Ilahi tentunya kita akan menerima kenyataan dengan berbesar hati dan berlapang dada. Pemimpin datang dan pergi itu perkara bisa, apa yang perlu menjadi agenda utama sekarang ini ialah RAKYAT. Rakyat perlukan pembelaan. Rakyat perlukan pemimpin yang mendengar luahan mereka. Rakyat perlukan pemimpin yang turun padang melihat mereka dan rakyat perlukan pemimpin yang "mesra alam" serta berjiwa muda. Jika kesemua tuntutan rakyat ini dapat dipenuhi, insyaAllah pemimpin itu akan disanjung dan disayangi.

Ramai pemimpin yang boleh bercakap tetapi rakyat perlukan pemimpin yang cekap bertindak. Hakikatnya bukan mudah untuk memenuhi keinginan rakyat tetapi jika pemimpin itu bijaksana dalam menggariskan haja tuju , saya berpendapat rakyat akan menerima jika alasan itu logik dari sudut akal fikirannya.

Kepada pemimpin yang digugurkan, jutaan terima kasih di ucapkan atas segala jasa-jasa yang telah ditaburkan selama ini dan kepada " line -up" baru pula bersedialah untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Apabila sudah mengangkat sumpah maka beringatlah supaya jangan diri di makan sumpah.

Selamat maju jaya memimpin negara
Semoga Allah memberkati segala usaha yang murni demi kesejehteraan Malaysia


salam hormat dari hamba

tunmegat

Thursday, April 9, 2009

Banggalah dengan Negaramu

Salam sejahtera buat semua.

Hari ini saya ingin menulis tentang peri pentingnya semangat " Bangga dengan Negara". Saya ada seorang kawan yang datang dari Myanmar. Beliau berketurunan Rohingya. Menetap di Malaysia hampir 5 tahun. Bermula dari bertatih-tatih bercakap bahasa Melayu kini lancar seperti sudah lama bermastautin di sini. Apabila saya melontarkan soalan, adakah beliau mahu pulang ke negara asalnya?..Beliau menjawap, lebih baik mati di bumi Malaysia kerana di sini aman , makmur dan orang menghormati antara satu sama lain. Penghormatan seperti itu tidak diperolehi beliau semasa di Myanmar kerana keturunannya tidak diberikan hak sama rata oleh pemerintah. Kesian tapi itu adalah kenyataan. Lebih seronok di dengar dari mulut beliau, banduan di Malaysia ini lebih cukup makannya berbanding orang-orang yang bebas di negaranya.

Saya bertanya lagi, berapa pendapatannya sebagai pembantu di kedai makan? Jawabnya, RM 800 sebulan. Berapa pula yang beliau belanja untuk dirinya? hanya RM 150 sahaja selebihnya di hantar ke Myanmar untuk ibunya. Saya bertanya lagi, cukupkah dengan hanya berbelanja RM 150 sebulan. Jawabnya, lebih dari cukup kerana di sini beliau tidak lagi kelaparan kerana sudah di tanggung majikan (tauke restoran), tempat tinggal pun di sediakan lengkap dengan kipas angin , katil dan televisyen. Kalau di negaranya, untuk memiliki semua itu hanya mimpi. Rumahnya di Myanmar amat daif, tiada bilik untuk ayah ibu, adik beradik, tiada bilik air dan tiada bekalan elektrik. TV , kipas angin , dapur gas, lampu dan paip air itu adalah satu kemewahan yang hanya diperolehi oleh golongan tertentu.

Terkesima saya mendengarnya. Kesian tapi itulah kenyataan. Itu belum lagi anda semua mendengar cerita tentang mereka di halang untuk beribadat. Saya diberitahu, di negaranya azan tidak boleh dilaungkan menerusi corong-corong PA sistem. Hanya laungan dari mulut bilal sahaja di benarkan. Syiar Islam hanya disampaikan melalui madrasah-madrasah yang di bina sendiri dengan tanpa bantuan pemerintah. Menurut beliau lagi, beliau mula mengenali seluar kira-kira 5 tahun lalu. Selama ini beliau hanya memakai kain pelikat sahaja. Mempunyai "handphone" sendiri kira-kira 2 tahun lepas adalah satu bentuk kemewahan yang tidak pernah beliau impikan. Syurkurnya tidak terkata kerana beliau berada di Malaysia dan beliau amat berharap agar kehadirin beliau di sini biarlah untuk selamanya. Ditanya pula adakah beliau berbangga dengan negaranya?..Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Hanya renungan jauh di lemparkan. Saya dapat rasakan jawapan yang hendak diberikan cuma ianya tidak hadir menerusi kata-kata. Dia meneruskan kerja-kerjanya di restoran. Saya menghabiskan makanan dengan penuh rasa kesyukuran kerana saya berada di bumi bertuah ini. Dan semua kisah yang di tulis tadi ketika saya menuntut di UKM 2 tahun lepas.

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton sebuah filem bertajuk Slumdog Millionaire. Setibanya di adengan yang memaparkan kehidupan masyarakat setinggan di Mumbai, saya teringat rakan Rohingya saya. Mungkin rumahnya di sana seperti yang dipaparkan dalam filem tersebut. Kepada beliau yang sudah 2 tahun saya tak jumpa, saya doakan beliau selamatlah hendaknya dan kepada rakyat Malaysia saya sarankan untuk cubalah menyelami hati-hati pendatang-pendatang ini. Mungkin kita dapat belajar sesuatu dari mereka untuk kita menghargai dan berbangga dengan negara kita.


salam hormat dari hamba


tunmegat