Thursday, April 9, 2009

Banggalah dengan Negaramu

Salam sejahtera buat semua.

Hari ini saya ingin menulis tentang peri pentingnya semangat " Bangga dengan Negara". Saya ada seorang kawan yang datang dari Myanmar. Beliau berketurunan Rohingya. Menetap di Malaysia hampir 5 tahun. Bermula dari bertatih-tatih bercakap bahasa Melayu kini lancar seperti sudah lama bermastautin di sini. Apabila saya melontarkan soalan, adakah beliau mahu pulang ke negara asalnya?..Beliau menjawap, lebih baik mati di bumi Malaysia kerana di sini aman , makmur dan orang menghormati antara satu sama lain. Penghormatan seperti itu tidak diperolehi beliau semasa di Myanmar kerana keturunannya tidak diberikan hak sama rata oleh pemerintah. Kesian tapi itu adalah kenyataan. Lebih seronok di dengar dari mulut beliau, banduan di Malaysia ini lebih cukup makannya berbanding orang-orang yang bebas di negaranya.

Saya bertanya lagi, berapa pendapatannya sebagai pembantu di kedai makan? Jawabnya, RM 800 sebulan. Berapa pula yang beliau belanja untuk dirinya? hanya RM 150 sahaja selebihnya di hantar ke Myanmar untuk ibunya. Saya bertanya lagi, cukupkah dengan hanya berbelanja RM 150 sebulan. Jawabnya, lebih dari cukup kerana di sini beliau tidak lagi kelaparan kerana sudah di tanggung majikan (tauke restoran), tempat tinggal pun di sediakan lengkap dengan kipas angin , katil dan televisyen. Kalau di negaranya, untuk memiliki semua itu hanya mimpi. Rumahnya di Myanmar amat daif, tiada bilik untuk ayah ibu, adik beradik, tiada bilik air dan tiada bekalan elektrik. TV , kipas angin , dapur gas, lampu dan paip air itu adalah satu kemewahan yang hanya diperolehi oleh golongan tertentu.

Terkesima saya mendengarnya. Kesian tapi itulah kenyataan. Itu belum lagi anda semua mendengar cerita tentang mereka di halang untuk beribadat. Saya diberitahu, di negaranya azan tidak boleh dilaungkan menerusi corong-corong PA sistem. Hanya laungan dari mulut bilal sahaja di benarkan. Syiar Islam hanya disampaikan melalui madrasah-madrasah yang di bina sendiri dengan tanpa bantuan pemerintah. Menurut beliau lagi, beliau mula mengenali seluar kira-kira 5 tahun lalu. Selama ini beliau hanya memakai kain pelikat sahaja. Mempunyai "handphone" sendiri kira-kira 2 tahun lepas adalah satu bentuk kemewahan yang tidak pernah beliau impikan. Syurkurnya tidak terkata kerana beliau berada di Malaysia dan beliau amat berharap agar kehadirin beliau di sini biarlah untuk selamanya. Ditanya pula adakah beliau berbangga dengan negaranya?..Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Hanya renungan jauh di lemparkan. Saya dapat rasakan jawapan yang hendak diberikan cuma ianya tidak hadir menerusi kata-kata. Dia meneruskan kerja-kerjanya di restoran. Saya menghabiskan makanan dengan penuh rasa kesyukuran kerana saya berada di bumi bertuah ini. Dan semua kisah yang di tulis tadi ketika saya menuntut di UKM 2 tahun lepas.

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton sebuah filem bertajuk Slumdog Millionaire. Setibanya di adengan yang memaparkan kehidupan masyarakat setinggan di Mumbai, saya teringat rakan Rohingya saya. Mungkin rumahnya di sana seperti yang dipaparkan dalam filem tersebut. Kepada beliau yang sudah 2 tahun saya tak jumpa, saya doakan beliau selamatlah hendaknya dan kepada rakyat Malaysia saya sarankan untuk cubalah menyelami hati-hati pendatang-pendatang ini. Mungkin kita dapat belajar sesuatu dari mereka untuk kita menghargai dan berbangga dengan negara kita.


salam hormat dari hamba


tunmegat

No comments:

Post a Comment