Tuesday, March 31, 2009

BACA DAN FAHAMI MAKSUDNYA

Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah puisi di Berita Harian ( 28 Mac 2009). Ia amat menarik perhatian saya kerana ketajaman kata-kata dan olahan bait-baitnya yang menyentuh qalbu saya. Di sini ingin saya berkongsi dengan rakan-rakan sekelian puisi nukilan Baha Wahab , Kulai Johor.

TANAH BERDAULAT, PANTANG DERHAKA

LEMBARAN SULUNG CATATAN TANAH INI
TERPALIT TINTA MURKA
SETELAH SEKIAN LAMA TERPANDAM
DI DASAR TEPU HANYIR TELUK DAN SUNGAINYA

TANAH PAHLAWAN INI
TELAH LAMA BERDAULAT
DENGAN PERUT BUMI YANG BERKILAU PERAK
MENJADI SINAR MENYULUH HIDUP
MENYUBUR MUAFAKAT ANAK CUCU
BERPAYUNG DI BAWAH SUCI MAHKOTA
TIDAK PERNAH BERBADAI TAAT SETIANYA

MELUAP DARAH DAMAI
MENIMBANG SABAR TANAH INI
WAKTU KAU MENGALUN SUMBANG
SEMBAH DERHAKA

APA LAGI MAHU MU
KAU MENUDING TERSALAH ARAH
TANGAN DI JERUT BERSILANG PUNCA
BILA KAU LELAH TIDAK BERDAYA
HALKUM MEMBENGKAK BERNANAH
BILA KAU DIAM TIDAK BERSUARA
YANG MENGGAPAI HANYA TANGAN LONGLAI
DALAM SELUT PEKAT BERNODA

YANG SAYUP HANYA LOLONG KALUT
DI SEBALIK TABIR PUSAKA TUA
NAMUN KALU MASIH GAGAH JUGA
BERPAUT KEJAP PADA SELUSUR REPUT
MENANTI PERAHU KERTAS PENDERHAKA
TANPA PENDAYUNG SETIA
PASTI PERAHU TERSASAR HALA

SELURUH ISI BUMI BERTUAH INI
TELUK , TANAH DAN SUNGAINYA
MENJUNJUNG DAULAT, PANTANG DERHAKA
SEKALI TERLANJUR SELAMANYA MURKA
TERMAKAN SUMPAH , SEPANJANG HAYAT TULAHNYA.

Besar pengertian puisi ini.Orang Melayu patut sedar dan faham makna isinya. Bagi saya , tonggak Melayu (institusi kesultanan Melayu) tidak patut kita perkotak katik kan dan jika kita bangsa Melayu sendiri tidak tahu menghormati Sultan dan Raja Melayu, maka jangan diharap bangsa lain berbuat demikian. Saya pernah ke Siam dan Jepun. Kebetulan kedua-dua negara yang di lawati itu mempunyai Raja. Namun apa yang saya dapat lihat dan kagumi, mereka meletakkan Raja mereka di tempat yang amat tinggi hinggakan tiada apa dapat disamakan dengan kedudukan Raja mereka. Itulah kedudukan perlambangan yang sepatutnya. Malangnya kita, di bumi yang bertuah ini, sejak akhir-akhir ini sudah mula biadap. Segan silu, rasa hormat sudah tidak lagi bertempat di hati dan lebih malang lagi perasaan itu berlaku pada bangsaku MELAYU.

maaf dipinta jika ada tersalah bahasa dan terkasar kata
hanya susunan ayat ku luahkan untuk melapangkan dada
yang penuh serabut pabila ku memikirkan soal bangsaKU

sembah salam dariku
tunmegat

No comments:

Post a Comment